Rabu, 6 Mei 2015 | 2:49pm

F&N rancang perkenal minuman tenaga ganti Red Bull

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) sedang meninjau peluang untuk memperkenalkan produk minuman bertenaga baharu susulan penamatan hak pengedaran produk Red Bull September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Yew Hoe, berkata syarikat sedang melaksanakan kajian terperinci di Thailand, Singapura dan Malaysia bagi mengenal pasti produk minuman bertenaga terbaik yang dapat menarik perhatian ramai.

"Red Bull adalah jenama minuman bertenaga yang terkenal. Kami akan berusaha menampilkan jenama minuman bertenaga yang boleh menarik pengguna dan mapan untuk jangka panjang," katanya selepas taklimat mengenai prestasi kewangan F&NHB pada separuh pertama berakhir 31 Mac 2015 di sini hari ini.

Lim berkata, penamatan pengedaran Red Bull tidak akan memberi kesan kepada prestasi kewangan semasanya yang akan berakhir pada 30 September ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang melaksanakan strategi dengan pelancaran produk baharu bagi mengimbangi kesan daripada penamatan pengedaran Red Bull itu terhadap prestasi kewangannya pada masa depan.

Katanya, pengedaran Red Bull menyumbang pendapatan kira-kira RM200 juta kepada F&NHB.

Dalam pada itu, syarikat juga merancang menjadikan kemudahan yang akan dibangunkan di Kota Kinabalu, Sabah sebagai pusat pengeluaran produk susu segar dan susu suhu ultra tinggi (UHT) untuk pasaran Malaysia.

Mengikut Yew Hoe, syarikat sudah membeli tanah seluas 8.5 hektar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu bernilai RM26 juta baru-baru ini untuk membina kilang pengeluaran produk minuman dan tenusu.

Pembinaan kilang itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

"Pembinaan kilang di Kota Kinabalu ini untuk menampung permintaan di Sabah dan Sarawak yang mempunyai jumlah penduduk sekitar lima hingga enam juta orang.

"Dengan Sabah menjadi lokasi terbaik di Malaysia dalam mendapatkan susu yang berkualiti, selain mengeluarkan produk minuman, kami meninjau kemungkinan menjadikan kilang baharu kami di Kota Kinabalu ini sebagai pusat pengeluaran produk susu segar dan UHT untuk pasaran Malaysia," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X