Rabu, 6 Mei 2015 | 12:02am

Tiada istilah pencen dalam berdakwah

KEINGINAN datuk melihat cucu sulung belajar agama akhirnya melahirkan keyakinan dalam diri cucu itu terhadap didikan sekolah aliran agama dan melanjutkan pendidikan peringkat menengah di Maahad Muhammadi Kota Bharu, Kelantan, menjadi satu nikmat kepadanya.

Apatah lagi selepas itu, beliau berpeluang menyambung pengajian di Universiti Islam Muhammad ibn Soud, Riyadh, Arab Saudi, selama enam tahun sebelum kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai penolong pensyarah di Kuliyyah Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Meneruskan pencarian ilmu, beliau menyambung pengajian sarjana di Institut Antarabangsa Bahasa Arab, Khartoum, Sudan. Sekembalinya, beliau meneruskan tugas di UIAM sebelum mengambil keputusan bertukar ke Universiti Malaya (UM) untuk menumpukan pengkhususan dalam bidang dakwah.

Selepas kira-kira 22 tahun berkecimpung dalam dunia dakwah, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam UM, Roslan Mohamed, rasa dihargai kerana usaha dakwahnya mendapat perhatian apabila pengucapan dakwah beliau menjadi penilaian pelajar Akademi Pengajian Islam UM.

Buku bertajuk Retorik Pengucapan Dakwah Roslan Mohamed itu adalah kajian pelajar terhadap semua penyampaian dakwah beliau yang dikumpulkan mereka.

Kredibiliti beliau dalam bidang dakwah turut menarik minat pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk mengenali lebih dekat anak kelahiran Machang, Kelantan itu, seterusnya menghasilkan buku Transkrip Temubual Bersama Ustaz Roslan Mohamed Seorang Pensyarah dan Pendakwah di Malaysia bagi kerja kursus mereka.

"Bagi saya ini satu penghargaan yang besar apabila ada pelajar mengkaji ucapan dakwah saya. Ada pula yang ingin mengenali dengan menulis sejarah diri dan keluarga saya. Buku yang dihasilkan mereka adalah pengiktirafan kepada usaha dakwah saya selama ini," katanya pada pertemuan di pejabatnya.

Mengimbau sejarah pembabitan sebagai penceramah di televisyen, ia bermula pada tahun 1994 apabila beliau dijemput untuk berbicara mengenai hukum membabitkan permasalahan wanita dalam program Wanita Hari Ini terbitan TV3.

Tidak menafikan ia memberi sedikit tekanan kepadanya kerana perlu bercakap berkenaan isu kewanitaan dan kekeluargaan, namun atas sokongan pihak penerbitan, perasaan itu bertukar menjadi `bersemangat' kerana dapat berkongsi ilmu selain membantu banyak pihak memahami Islam sebaiknya.

Pernah digandingkan bersama pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah untuk program Al-Kuliyyah juga terbitan TV3, baginya itu kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan yang menjadi pencetus semangat untuknya terus berdakwah.

"Ini yang saya lalui dan saya akui terus bersemangat kerana sebagai orang baharu saya digandingkan dengan tokoh hebat. Sebab itu saya berpandangan pendakwah yang baru berjinak-jinak perlu digandingkan dengan 'otai' supaya mereka dapat belajar," katanya.

Berkongsi rahsia wajahnya kekal menghiasi skrin televisyen melalui pelbagai program agama terbitan RTM, TV3, TV9 dan TV AlHijrah, Roslan berkata beliau berpegang kepada firman Allah SWT dalam surah alNahl, ayat 125, sebagai kunci dakwah.

Firman-Nya yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah."

Berbekalkan kunci dakwah itu, beliau sedaya upaya mengelak daripada terjebak dalam kontroversi kerana katanya, pendakwah adalah penyatu bukannya peruntuh.

Justeru, beliau akan menghindari isu kontroversi yang boleh menimbulkan kekeliruan sebaliknya mencari isu yang dapat menyatukan umat Islam.

Beliau mengakui banyak menghabiskan waktu terluang ketika di Arab Saudi berguru dengan ulama besar di sana.

Katanya, ulama besar Arab Saudi, Syeikh Muhammad Salleh alUthaimin banyak mendedahkan beliau kepada ilmu akidah, akhlak dan hukum hakam agama.

Saranan beliau, pendakwah perlu keluar untuk menambah ilmu pengetahuan bagi memantapkan kedudukan sebagai pembangun ummah.

Roslan berkata, bidang dakwah juga memerlukan teknik serta kemahiran supaya dapat menarik minat masyarakat untuk mendengar ilmu yang disampaikan dan pada masa sama, mereka juga senang mendekati golongan pendakwah.

Beliau berkata, pendekatan tidak berhikmah boleh membantutkan niat orang ramai untuk memahami serta mendalami Islam seterusnya menjauhkan mereka daripada menjadikan ajaran agama sebagai jalan kehidupan.

"Saya pernah melalui saat itu dan kesannya masih berbekas hingga hari ini. Ketika itu saya membawa anak sulung berumur tiga tahun untuk solat jemaah di masjid. Budaya negara kita, kanak-kanak ditempatkan di saf belakang.

"Ketika jemaah sedang solat, anak saya berlari-lari dan suaranya agak kuat. Saya tahu itu suara anak saya. Selesai solat imam terus bersuara, anak siapa yang bising ini. Saya agak nak marah juga dengan cara imam menegur. Namun, ia tetap menjadi pengajaran kepada saya.

"Sebenarnya tidak salah bawa anak ke masjid untuk mendidik mereka tetapi perlu ada kawalan daripada ibu bapa. Mengikut hukum fiqah boleh anak solat di sebelah ibu bapa tetapi orang kita, kanak-kanak mesti di belakang," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X