Selasa, 5 Mei 2015 | 12:11pm

Demi Lovato pukau penonton di KL

KONSERT Demi Lovato di KL Live, Jalan Sultan Ismail. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Kemantapan vokal penyanyi popular Demi Lovato terbukti menerusi kejayaan persembahannya di Konsert Demi World Tour Live In Kuala Lumpur di KL Live, di sini, semalam.

Hampir dua ribu peminat didominasi oleh golongan remaja memenuhi segenap penjuru untuk konsert jelajah Demi di Malaysia selepas kejayaan konsertnya di Singapura.

Apa yang pasti, vokal yang dimiliki Demi tidak dapat disangkal lagi. Beliau membuka pentas menarik perhatian peminat menerusi lagu Really Don't Care yang mana ia berjaya menaikkan andrenalin untuk lagu seterusnya.

Demi atau nama sebenarnya Demetria Devonne Lovato meneruskan persembahan menyanyikan The Middle, Fire Starter, Remember December, Heart Attack, My Love Is Like A Star, Don't Forget, Two Pieces, Get Back, Got Dynamite dan Nightingale.

Penyanyi berusia 23 tahun itu menyampaikan lagu popularnya seperti Let It Go, Skyscrapper, Give Your Heart A Break dan Neon Lights.

Manakala beliau turut mempersembahkan lagu Warrior yang memberikan makna yang begitu mendalam serta mendapat sentuhan peribadi darinya.

Secara tidak langsung Demi menyebarkan aura dan mesej positif kepada peminatnya berdasarkan kisah lampau yang banyak mengajarnya.

Penyanyi yang pernah berkunjung ke sini pada tahun 2013 dilihat lebih bijak berinteraksi dan lincah di atas pentas berbekalkan kualiti vokal yang hebat.

Kunjungan kali kedua Demi ke Malaysia ternyata berjaya mencipta memori manis peminat yang sudah lama menantikan kehadiran penyanyi itu.

Berita Harian X