Isnin, 4 Mei 2015 | 6:04pm

Liga Super: Benteng mantap JDT beri hasil - Ismail


PEMAIN JDT, Patricio Rodriguez (tengah) diasak pemain Felda United, Johor Darul Ta'zim (JDT) bertemu Felda United pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Keupayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjaga benteng dan melakukan serangan bertubi dalam perlawanan Liga Super di sini malam tadi menjadikan pasukan pelawat hilang punca, sebelum berjaya meledakkan gol kemenangan menerusi pemain import Argentina, Patricio Julian Rodriguez.

Jurulatih, Ismail Ibrahim yang mengemudi barisan pemain JDT berkata, beliau melakukan perubahan pada minit terakhir sebelum perlawanan selain tidak memasukkan Mohd Shakir Shaari sebagai pemain kesebelasan.

"Saya sebaliknya memerlukan Junior Eldstal (Putera Nadher Amarhan Maderner) untuk menajamkan barisan pertahanan tengah dan Shafiq Rahim membantu Luciano Gabriel Figueroa di barisan serangan.

"Ternyata ia berkesan menyebabkan FELDA United FC (FUFC) hilang punca walaupun pada hakikatnya mereka bagus," kata Ismail pada sidang media selepas perlawanan itu, di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, JDT mendapat jolokan nama 'Harimau Selatan' meraih gol tunggal menerusi sepakan penalti Patricio pada minit ke-45.

Pengadil, Samsudin Ibrahim menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT setelah Patricio dijatuhkan oleh pemain pertahanan FUFC, Shahrul Mohd Saad di dalam kotak penalti pasukan pelawat.

Ismail berkata kemenangan itu berharga buat pasukannya kerana telah merapatkan jurang kedudukan dengan pasukan teratas Liga, Polis Diraja Malaysia.

"Jadi saya ucapkan syabas kepada pemain, mereka telah bermain dengan sepenuh hati dan diharapkan momentum ini dapat dikekalkan pada perlawanan seterusnya," kata beliau.

Sementara itu, ketua jurulatih FUFC, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kekalahan mereka berpunca daripada pemainnya tidak berjaga-jaga di setiap penjuru padang.

"Saya bagaimanapun tidak kecewa dengan persembahan mereka secara keseluruhan, malah kita juga tidak terlepas berada di atas liga.

"Ini baru perlawanan ke-10, masih ada 12 lagi perlawanan dan apa-apa sahaja boleh berlaku," jelas beliau. - BERNAMA

103 dibaca
Berita Harian X