Sabtu, 2 Mei 2015 | 9:36pm

Kerajaan Nepal tolak kemungkinan temui lebih ramai mangsa gempa

KATHMANDU: Lebih seminggu selepas gempa bumi kuat yang mengorbankan lebih 6,700 orang setakat ini, kerajaan Nepal menolak kemungkinan untuk mengesan lebih ramai mangsa yang tertimbus di sini walaupun ahli keluarga enggan berputus asa.

Dua hari selepas tiada tanda mangsa yang masih hidup dikesan di celah sisa runtuhan yang memenuhi ibu negara, tumpuan kini beralih kepada pencarian mangsa di kawasan pedalaman yang masih belum menerima sebarang bekalan bantuan.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) pula memberi amaran bahawa wabak penyakit boleh merebak di kalangan 1.7 juta kanak-kanak yang tinggal di kawasan paling teruk terjejas dan hujan monsun dijangka melanda dalam beberapa minggu lagi.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud mengorbankan beribu-ribu nyawa apabila ia menggegar pada tengah hari Sabtu lalu dan mengakibatkan bangunan dan kediaman runtuh serta menyebabkan runtuhan salji di kawasan Gunung Everest.

"Kini sudah lebih seminggu sejak bencana ini berlaku. Kami sedang buat sedaya upaya dalam usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan tetapi kini saya tidak fikir ada kemungkinan ada lagi mangsa yang terselamat di bawah sisa runtuhan," kata jurucakap kerajaan, Laxmi Prasad Dhakal.

Dhakal berkata, setakat ini, angka kematian ialah 6,621 orang manakala jumlah yang cedera ialah 14,023orang.

Kira-kira 100 lebih pula terkorban di India dan China.

Ketika anggota penyelamat membabitkan lebih 20 negara menggunakan anjing pengesan dan peralatan pengesan haba untuk mencari mangsa yang terselamat di celah sisa runtuhan, tiada yang berjaya diselamatkan sejak petang Khamis lalu.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yang hilang enggan berputus asa.

"Saya percaya dia masih terperangkap dan akan diselamatkan," kata Suntali Tamang mengenai suaminya, Langte, 41, dipercayai berada di Gongabu. - AFP

Berita Harian X