Sabtu, 2 Mei 2015 | 5:29pm

United lega Rooney cergas turun temu West Brom


WAYNE Roonery (kanan) bersama Daley Blind. - Foto REUTERS

LONDON: Pengendali Manchester United, Louis van Gaal berharap pemulihan cepat kecederaan lutut Wayne Rooney mampu memberi suntikan buat pasukan itu dalam misi mengesahkan slot ke saingan Liga Juara-Juara, musim depan.

United mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 3-0 kepada Everton, minggu lalu dan kecederaan Rooney pada saat genting ini dibimbangi memberi kesan buruk berterusan kepada pasukan itu.

Namun, Van Gaal tampil mengesahkan bahawa penyerang England itu akan cergas untuk diturunkan bertemu West Brom di Old Trafford, tengah malam ini dengan kemenangan mampu mengesahkan kedudukan United di tangga keempat.

Bagaimanapun ia masih bergantung kepada keputusan perlawanan membabitkan pasukan tangga kelima, Liverpool dan Tottenham yang masing-masing akan bertemu QPR, malam ini dan Manchester City, malam esok.

"Rooney cergas untuk beraksi. Kecederaan dialaminya tidak sebegitu teruk seperti dijangkakan," kata Van Gaal yang pasukannya kini tujuh mata mengatasi Liverpool dan Tottenham dengan saingan berbaki empat perlawanan.

Meskipun Michael Carrick, Marcos Rojo, Rafael dan Jonny Evans, kesemuanya masih tidak dapat beraksi akibat kecederaan, United dijangka menurunkan Robin van Persie buat kali pertama dalam kesebelasan utama selepas tempoh lebih dua bulan. - AFP

Berita Harian X