Sabtu, 2 Mei 2015 | 2:32pm
IEDA Moin baharu sahaja muncul dengan single berjudul Kahwin Lagi selain bakal terbabit dengan penggambaran filem. - Foto ihsan Ieda Moin
FOKUS Ieda Moin sekarang lebih kepada anak dan kerjaya. - Foto ihsan Ieda Moin

Ada yang ajak saya kahwin - Ieda Moin

KUALA LUMPUR: Melalui kehidupan sebagai ibu tunggal atau apa saja gelaran termasuk menjadi Miss J (janda), pelakon, penyanyi serta pelawak Ieda Moin kini mengakui skeptikal terhadap status itu tetap ada. Ieda bercerai Disember tahun lalu. Sudah tertulis rumah tangganya bersama Mohd Naquib Idris berakhir dengan perceraian selepas lapan tahun memadu asmara bersama.

Kini Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin melakukan rutin hariannya sebagai anak seni untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup dan membesarkan anak tersayang, Nur Dhia Dania, 7.

"Tambah lagi dengan kerjaya seni saya. Pandangan dan mulut orang itu pasti ada. Saya kena kuatkan minda terutama daripada segi emosi untuk hadapi semua ini sekuat yang mungkin. Dalam hati berkata, rupanya selepas bercerai dan jadi ibu tunggal lagi susah kerana orang luar memandang insan seperti saya ini lebih kepada sudut negatif berbanding positif.

"Pernah nak dijadikan cerita apabila pembantu peribadi datang menjemput saya di rumah, ada pula cakap cakap belakang itulah punca saya bercerai. Macam-macam lagilah. Saya hanya berdoa semoga Tuhan terus memberikan kekuatan untuk saya mengharungi hidup ini sebaik mungkin," katanya yang ditemui di Talent Lounge ketika majlis pelancaran program masakan, Aku Yang Masak Kau Yang Panas terbitan Padusi Pictures.

Status solonya kini turut membuka hati ramai lelaki di luar sana untuk menyunting hatinya kembali. Ieda memberitahu apabila dia aktif di laman sosial, ada juga golongan lelaki yang memberi bayangan seperti mahu memperisterikannya.

"Saya tak tahu nak kategorikan ini sebagai sekadar gurauan atau tak. Tapi tak rasa macam gurauan pun kerana hal kahwin ini bukan isu main-main. Ia sangat sensitif. Memang ada lelaki duda nak kahwin dengan saya. Bukan setakat duda, suami orang pun ada. Tapi suami orang memang takkan saya layan. Saya nak lelaki bujang andai suatu hari nanti bertemu jodoh lagi," katanya.

Malahan baharu sahaja habis edah, Ieda saat diusik persoalan mencari pengganti, mengakui belum bersedia ke arah itu. Cuma baru-baru ini timbul ura-ura dia akan bertunang atas aturan keluarga.

Malah lebih daripada itu, ada yang mahu menjadikan dia isteri. Ura-ura pertunangan itu seakan memberi isyarat beliau sudah bersedia menerima pengganti.

"Nak kata ya pun susah, nak kata tidak pun sama susah. Tapi apa yang boleh Ieda katakan, memang hal itu membabitkan urusan keluarga. Ada perbincangan membabitkan keluarga saya. Cuma daripada pihak saya sendiri belum memberikan keputusan muktamad.

"Keluarga tak mendesak tetapi semestinya mereka mahukan yang terbaik untuk Ieda dan anak. Mereka ada memberikan nasihat untuk Ieda membuat keputusan sebaik mungkin kerana pada akhirnya pilihan berbalik ke tangan sendiri.

"Cuma sejujurnya masih terlalu awal untuk Ieda mencari pengganti. Memang soal nak cari pengganti itu tak ada dalam kepala lagi.

"Fokus Ieda sekarang lebih kepada anak dan kerjaya. Anak memerlukan Ieda di kala ini. Anak pun masih berjumpa dengan ayahnya. Tiada halangan untuk anak bertemu ayahnya. Barangkali juga saya trauma dengan pengalaman lalu dan masih belum bersedia membicarakan secara terbuka soal mengisi kekosongan hati," katanya

Tambah Ieda, kehidupannya kini saat bergelar ibu tunggal berjalan seadanya seperti biasa.

"Sebelum dan selepas berpisah sama sahaja. Tak ada beza. Soal anak pun kami tak terlalu ketat dan dia (bekas suami) boleh jaga anak kami sekalipun secara total anak lebih kepada saya. Cuma bezanya kami tidak duduk sebumbung.

"Hubungan saya dengan suami lebih banyak kepada soal anak. Hubungan kami pun sudah tidak seperti dahulu. Cuma selepas bercerai komunikasi antara kami itu lebih baik berbanding ketika bersama. Bezanya saya dan dia sudah macam orang asing. Cara bercakap sudah jadi pelik dan serba tak kena.

"Mungkin juga saya belum membuang memori bersamanya betul-betul dan masih terngiang kisah bersama. Mana tidaknya balik rumah yang kami tinggal bersama dahulu, kenangan lama itu mula mengusik. Tapi insya-Allah, perlahan perlahan saya akan lupakan semua itu," katanya.

Mengenai perkembangan seninya, Ieda baharu sahaja muncul dengan single berjudul kahwin Lagi selain bakal terbabit dengan penggambaran sebuah filem arahan M Subash diberi nama Kamar Siksa.

"Tajuk single ini memang benar-benar menguji saya. Lagu ini dirakamkan sebelum saya bercerai lagi. Jadi jangan salah faham pula dengan tajuk ini seolah-olah saya nak kahwin lagi pula. Klip videonya juga siap dibikin dan lebih berkonsepkan gaya parodi. Lagu ini berkonsepkan pop rock dan lirik lebih 'straight to the point'.

"Mengenai lakonan pula, saya sudah dapat tawaran berlakon filem. Sebelum bercerai saya tak pernah diberi peluang membawakan watak utama tetapi Alhamdulillah saya ditawarkan watak utama di samping Sazzy Falak. Ia sebuah kisah benar mengenai pasangan lesbian yang suka mendera pembantu rumah. Saya dan Sazzy jadi pasangan kekasih dalam filem ini," katanya.

Info Ieda Moin

  • Nama penuhnya Siti Haida Abd Moin
  • Pernah muncul dengan kumpulan Moin bersama adiknya Eddy. Moin muncul dengan album Kau Yang Ku Sayang (1999) dan Hanya Untukmu (2002)
  • Turut berkebolehan sebagai pengacara dan pelawak
  • Antara artis tanah air yang melatah
Berita Harian X