Sabtu, 2 Mei 2015 | 12:05am

Urus jenazah mangsa HIV tuntut ketabahan




TEMPAT mandian jenazah yang digunakan untuk pesakit HIV/AIDS

BIARPUN hati berdebar ketika menjejakkan kaki ke rumah mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semua perasaan itu ditolak ke tepi setelah penulis sendiri menyaksikan bagaimana jenazah dikendalikan di hospital berkenaan.

Rumah mayat bukan sekadar membawa pelbagai kisah seram yang sering diceritakan, malah turut menyimpan rahsia yang begitu menyayat hati untuk dijadikan pengajaran.

Setiap jenazah disempurnakan dengan baik dan mengikut ajaran agama masing-masing, meskipun jenazah yang akan dikebumikan berpenyakit sehingga boleh berjangkit kepada orang yang menguruskannya.

Jenazah pesakit HIV/AIDS adalah kategori yang perlu disempurnakan mengikut peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Pengurusannya perlu dilaksanakan mengikut prosedur khusus bagi mengelak daripada dijangkiti terutama kepada mereka yang menguruskan jenazah berkenaan.

Tingkat langkah keselamatan

Sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian melalui Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dalam proses menguruskan jenazah pesakit HIV/AIDS.

Berkongsi pengalaman menguruskan jenazah sedemikian, Ketua Pengendali Jenazah, Pusat Pengurusan Jenazah Islam PPUM, Jalaludin Ismail, berkata ia seperti menguruskan mayat biasa.


PENGENDALI jenazah hanya membabitkan empat kakitangan termasuk inspektor yang bertanggungjawab memastikan SOP dilaksanakan.

Katanya, jenazah pesakit HIV/AIDS perlu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan seterusnya dikebumikan.

Beliau berkata, peralatan memandikan jenazah itu juga seperti peralatan memandikan jenazah normal tetapi perlu ditambah dengan penggunaan sarung tangan getah, apron plastik, penutup muka dan but getah.

"Walaupun pada masa ini masih belum ada kes jangkitan HIV/AIDS dikesan disebabkan kecuaian ketika mengendalikan jenazah, namun langkah keselamatan perlu diberi perhatian khusus.

"Selepas mengetahui status mayat, saya perlu melaporkannya kepada inspektor kesihatan di Jabatan Kesihatan Negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ini adalah prosedur biasa mengesahkan status jenazah sebelum diserahkan semula kepada kami," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Bahan peluntur bunuh kuman


PENGENDALI jenazah hanya membabitkan empat kakitangan termasuk inspektor yang bertanggungjawab memastikan SOP dilaksanakan.

Jalaludin yang berpengalaman lebih 22 tahun dalam bidang berkenaan berkata, sebelum menguruskan jenazah, beliau akan menyiapkan peralatan yang diperlukan. Sebagai tambahan, pihaknya perlukan bahan peluntur sebanyak lima liter dan semua bahan itu akan dimasukkan ke dalam baldi.

Sebelum jenazah dimandikan, cecair peluntur itu perlu diratakan ke seluruh anggota jenazah mangsa HIV dengan menggunakan sarung tangan getah, apron plastik, penutup muka dan gogal.

Penggunaan ini bertujuan mengelak cecair daripada jenazah masuk atau melekat pada tubuh kakitangan ketika menguruskan jenazah.

Air mandian jenazah perlu disalurkan dengan getah terus ke dalam lubang untuk dilupuskan. Setiap rongga pada tubuh jenazah perlu disumbat dengan kapas yang direndam peluntur, sebelum ditutup kapas kering.

"Selepas memandikan jenazah, kakitangan bertugas akan membersihkan tempat yang digunakan. Persiapan mengkafankan jenazah pula memerlukan tiga helai kain dan plastik berukuran 2.5 meter.

"Balutan pertama membabitkan dua helai kain kafan, manakala lapisan ketiga ialah plastik sebelum balutan terakhir menggunakan kain kafan supaya kelihatan seperti jenazah normal. Kita cuba mengelakkan daripada jenazah nampak jelas dibungkus plastik supaya tidak mengaibkannya," katanya.

Perlu kekuatan mental

Jalaludin berkata, cara mengebumikan jenazah pula berdasarkan hukum syarak seperti jenazah normal. Pengendali perlu membasuh tangan dan anggota untuk mengelakkan sebarang jangkitan.

Selain itu, katanya, kakitangan sentiasa diingatkan supaya tidak mengalami kecederaan atau luka ketika menguruskan jenazah untuk mengelak daripada jangkitan.

"Secara keseluruhannya urusan mandi, kafan, sembahyang dan mengebumikan jenazah HIV/AIDS sama dengan jenazah normal, cuma penambahan peralatan dan langkah berjaga-jaga diutamakan," katanya.

Beliau mengakui, kekuatan mental diperlukan untuk menguruskan jenazah sedemikian.

"Pengendali juga berhadapan dengan jenazah yang tidak sempurna. Mereka perlu memastikan tugas mengendalikannya dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Tenangkan waris


KAKITANGAN menunjukkan cara pembungkusan jenazah HIV/AIDS menggunakan plastik.

Turut berkongsi pengalaman, Pengerusi Pusat Pengurusan Jenazah Islam PPUM, Yahaya Abdul Hamid yang berkata terdapat kes waris pesakit HIV/AIDS tidak berpuas hati dengan pengendalian jenazah.

Beliau berkata, mereka sukar menerima hakikat penyakit yang dihidapi anak atau ahli keluarga mereka.

"Kebiasaannya pihak pengurusan akan meminta waris supaya bertenang dan bersabar. Bagaimanapun, ada juga segelintir yang tidak dapat mengawal emosi. Jadi, kita biarkan sebentar sebelum menenangkan mereka," katanya.

Yahaya berkata, sama ada jenazah normal atau yang menghidap penyakit berjangkit, proses menguruskan jenazah dilakukan dengan penuh tertib tanpa sebarang diskriminasi.

Beliau berkata, bezanya hanya barang kelengkapan tambahan yang digunakan dan pengurusan jenazah HIV/AIDS perlu dilakukan secara tertutup.

"Pengendalian jenazah ini hanya membabitkan empat kakitangan termasuk inspektor kesihatan yang bertanggungjawab memastikan SOP dilaksanakan.

"Waris dan rakan hanya boleh melihat selepas jenazah sudah siap dikafankan dan terus dikebumikan. Prosedur menetapkan jika jenazah dibawa pulang sekali pun, waris tidak dibenar melihatnya," katanya.

Berita Harian X