Jumaat, 1 Mei 2015 | 4:28pm

Najib letak piawaian baharu, yakin Santubong kekal milik BN

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Nadim Bokhari

SANTUBONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan keyakinan Parlimen Santubong akan kekal sebagai kubu kuat kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 90 peratusan kemenangan di kawasan parlimen tersebut pada pilihan raya akan datang, meningkat berbanding prestasi yang ditunjukkan pada pilihan raya lepas.

"Saya berbangga dapat datang hari ini dengan kehadiran yang begitu ramai. Saya dapat kata confirm la Santubong ini kubu kuat kerajaan.

"Saya percaya jangan kita kejar yang kelabu, yang putih pun kena jaga juga. Kita jaga juga yang putih, saya yakin, insya-Allah Santubong ini pilihan raya akan datang terus jadi kubu kuat dengan prestasi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurir Rahmani, Kampung Santubong, dan seterusnya merasmikan masjid bernilai RM3 juta itu, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Anggota Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi dan Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Parlimen Santubong turut merangkumi kerusi DUN Tanjung Datu yang diwakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Terdahulu Wan Junaidi dalam ucapannya berkata pada Pilihan Raya Umum ke-13, Parlimen Santubong menyaksikan BN memperoleh peratusan kemenangan sebanyak 86 peratus.

Wan Junaidi turut melahirkan keyakinan peratusan itu bakal bertambah kerana sejak Najib menjadi Perdana Menteri yang paling mengambil berat mengenai Sarawak, beliau sentiasa bermurah hati dan meluluskan peruntukan hampir RM1 bilion untuk program pembangunan serta kemudahan infrastruktur di kawasan parlimen itu. - BERNAMA

Berita Harian X