Khamis, 30 April 2015 | 9:59pm

Larian tolak kereta sorong bayi untuk cipta rekod dunia


DARI kanan, Ahmad Firdaus Anifah, Jojie Samuel, Khairy Jamaludin, Datuk Mohamed Hazali Abu Hasan dan Bastien Onn semasa pelancaran kempen Larian Perpaduan ASEAN dan Perkampungan ASEAN di kompleks beli-belah Pavilion, di sini hari ini. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Larian membabitkan peserta paling ramai berlari sambil menolak kereta sorong bayi sejauh 5 kilometer mencipta rekod baharu dalam Guiness World Record adalah antara acara kemuncak kempen Larian Perpaduan ASEAN dan Perkampungan ASEAN 2015 dari 7 hingga 9 Ogos ini.

Acara itu di Padang Merbok di sini adalah antara aktiviti anjuran Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini untuk mempromosikan perkumpulan serantau itu dan meningkatkan perpaduan di kalangan rakyatnya.

Perkampungan ASEAN akan memperlihatkan aktiviti seperti astaka anggota ASEAN, persembahan kebudayaan, pameran perdagangan, Dialog Belia ASEAN dan konsert menampilkan artis terkemuka dari negara ASEAN.

Larian Perpaduan ASEAN bermula dan berakhir di Padang Merbok dalam empat kategori - Larian Selebriti, Larian 5km, Larian 10km dan Separuh Maraton 21km.

Larian sambil menolak kereta sorong bayi itu akan cuba mengatasi rekod semasa yang dicatat 746 peserta dari Baby Kingdom Environmental Protection Education Fund di Hong Kong pada 13 Disember 2013.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi peserta pertama yang mendaftar di bawah kategori 10km pada pelancaran kempen Larian Perpaduan ASEAN dan Perkampungan ASEAN di kompleks beli-belah Pavilion, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Aman Malaysia, Datuk Hazali Abu Hassan berkata pasukan penganjur mahu kempen ini disertai seberapa ramai peserta dari rantau ini.

"Kami berharap kempen ini akan diterima dan dinikmati oleh semua orang di Asia Tenggara, mungkin mengambil peluang daripada program ini supaya lebih cergas, memperoleh maklumat dan menyebarkan mesej keamanan, perpaduan serta kemakmuran di rantau ini," katanya.

Aman Malaysia selaku penganjur, menyasarkan untuk menarik kira-kira 500,000 pengunjung ke pesta ria Perkampungan ASEAN selain 30,000 peserta larian. - BERNAMA

Berita Harian X