Khamis, 30 April 2015 | 7:48pm

Universiti perlu pastikan graduan fasih bahasa Inggeris - Muhyiddin


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada majlis ramah mesra bersama warga institusi pendidikan di Dewan Besar UITM Pulau Pinang. - Foto Sairien Nafis

BUKIT MERTAJAM: Universiti di negara ini diminta memastikan mahasiswa mereka yang bakal menamatkan pengajian mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik sebelum memasuki pasaran pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah penting ketika ini dan banyak pihak terutama majikan di sektor swasta yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penguasaan bahasa itu dalam kalangan graduan.

"Ramai graduan bila menulis, boleh buat dengan baik tetapi bila bercakap ada kekurangan. Lepasan universiti bila temu duga terutama dengan swasta, gagal menjawab soalan dengan baik," katanya dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Institusi Pendidikan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, berkata oleh itu pihak universiti perlu mengadakan ujian untuk graduan supaya mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik selain bahasa Melayu.

"Sebelum keluar universiti dalam kelulusan bidang masing-masing, perlu ada penguatkuasaan yang kuat dalam Bahasa Inggeris. Mereka dah belajar bahasa Inggeris tak berhenti sejak sekolah rendah, sekolah menengah dan kemudian universiti.

"Kemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik perlu untuk tujuan kebolehpasaran. Kita tak nak ada graduan menganggur kerana tidak boleh kuasai bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan terus menjadikan aspek pembangunan pendidikan sebagai keutamaan dalam memajukan negara ini.

Katanya, sejak negara mencapai kemerdekaan, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menjadikan pendidikan sebagai cara untuk menangani masalah kemiskinan dan ia terbukti cukup berjaya.

Beliau berkata, strategi itu terbukti tepat apabila paras kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia yang lebih 60 peratus sewaktu negara merdeka, kini turun ke paras yang sangat kecil dalam tempoh 57 tahun.

"Waktu negara mula-mula merdeka, sebahagian besar rakyat negara ketika itu tidak mendapat peluang pendidikan yang mencukupi. Selepas merdeka kita cari cara atasi kemiskinan dengan antaranya membekalkan anak bangsa dengan ilmu pengetahuan supaya mereka dapat keluar daripada lingkungan kemiskinan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X