Rabu, 29 April 2015 | 3:23pm

Pemandu maut lori masuk gaung


ANGGOTA bomba memeriksa lori bermuatan tong gas yang terbabas melanggar tembok sebelum terjunam ke dalam gaung 10 meter di Jalan Seremban - Bukit Tangga berhampiran Jeram Toi. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Seorang pemandu lori membawa tong gas maut selepas lorinya terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Bukit Tangga, Jelebu pagi tadi.

Mohd Nazri Md Rejab, 32, dari Triang, Pahang maut di tempat kejadian dalam nahas kira-kira 10.30 pagi itu manakala kelindannya, Rozainol Nasution, 29, dari Felda Lui Timur, cedera parah.

Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Shahrul Nizam Abdul Rahim, berkata lori itu dilapor melanggar penghadang jalan ketika menuruni bukit sebelum menggelungsur ke dalam gaung.

"Kami percaya lori itu mengalami masalah brek kerana terdapat kesan minyak brek di atas jalan raya," katanya.

Pemandu itu tersepit di tempat duduknya manakala kelindannya ditemui di luar lori.

Sementara itu di Rembau, seorang pemandu treler yang membawa barangan kurier maut apabila lorinya melanggar bahagian belakang sebuah treler lain di KM231 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke utara berhampiran Tol Pedas-Linggi malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, Vizaidi M Sapian, 27, dari Temerloh, Pahang sedang dalam perjalanan menghala Kuala Lumpur.

Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Abdul Hakim Awang, berkata pihaknya mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

- BERNAMA

Berita Harian X