Selasa, 28 April 2015 | 3:42pm
MAJLIS cukur jambul dan aqiqah puteri sulung Almy Nadia dan Fizz Fairuz, Nur Afrina Arianna di Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

Almy Nadia nak kurus balik


ALMY Nadia dan Fizz Fairuz bersama anak mereka, Nur Afrina Arianna di Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Ahad lalu genap setahun usia perkahwinan pasangan pelakon, Almy Nadia dan Fizz Fairuz.

Memilih simbolik tarikh 26 April, pasangan sama padan sama cantik ini turut memilih hari terbabit untuk menganjurkan majlis cukur jambul dan aqiqah puteri sulung mereka, Nur Afrina Arianna di sebuah kediaman mewah di Titiwangsa.

Arianna dilahirkan 16 Februari lalu di Hospital Columbia, Setapak. Sebelum kelahiran anak sulung itu, mereka turut membela anak bernama Nur Afrina Darwisyah.

Majlis berlangsung meriah dihadiri teman artis dan tetamu kehormat. Empat beranak ini turut mengenakan warna merah jambu untuk persalinan mereka.

Almy yang dihubungi BH Online semalam mengakui sedang bekerja keras untuk menurunkan berat badan asal. Biarpun Fizz tidak kisah bagaimana keadaan fizikal isterinya, Almy nekad mahu kurus semula.


MAJLIS cukur jambul dan aqiqah puteri sulung Almy Nadia dan Fizz Fairuz, Nur Afrina Arianna di Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

"Saya mengandung dulu memang berat badan naik mendadak. Memang 'over weight'. Jadi nak turunkan ke berat asal itu memang sukar.

"Tapi saya tetap nak kurus balik. Saya tak nak kena kutuk disebabkan badan besar. Ketika ini saya memang tak berlakon dan sibuk jaga anak selain nak kecilkan badan.

"Saya lebih menjaga pemakanan dan senaman. Saya buat senaman yang asas sahaja seperti melakukan squat, plank dan lompatan bintang. Mengemas rumah pun saya kira sebagai ruang untuk kasi badan berpeluh," katanya.

Mengenai kehadiran Arianna, Almy memanjat kesyukuran kerana dikurniakan anak yang sihat tubuh badan.


MAJLIS cukur jambul dan aqiqah puteri sulung Almy Nadia dan Fizz Fairuz, Nur Afrina Arianna di Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

"Lagi bertambah ceria dan sempurna hidup kami sekeluarga. Si kakak (Darwisyah) mula-mula seperti membawa diri kerana tak biasa ada adik. Tapi selepas seminggu saya melahirkan Arianna, dia sudah boleh menerima adiknya. Kakak sudah mula sayangkan adiknya," kata Almy.

198 dibaca
Berita Harian X