Selasa, 28 April 2015 | 12:01am
HAKISAN yang berlaku di persisiran pantai.

Daratan di Malaysia semakin panas

PEMANASAN global bukanlah satu topik yang baharu, namun berapa ramaikah yang sedar mengenai kesan dan impak daripadanya. Sedar atau tidak, pemanasan dan perubahan iklim global kini menyebabkan paras air laut semakin naik.

Ini berpunca daripada aktiviti peningkatan tahap gas yang memerangkap haba di atmosfera dan menyebabkan pemanasan global, juga dikenali sebagai kesan gas rumah hijau.

Faktor lain kenaikan aras laut ialah perubahan iklim, termasuk pencairan glasier dan ais di kutub, pencairan ais di Greenland dan Antartika serta pengembangan haba lautan.


HAKISAN yang serius di pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang. - Foto Mohd Kamil Rahim

Kawasan rendah tenggelam

Ia menyebabkan paras air laut semakin meningkat sehingga banyak kawasan rendah semakin hilang atau istilah lainnya, tenggelam. Kajian oleh Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mengunjurkan pada tahun 2100, air laut akan meningkat hingga 1.064 meter.

Kajian itu berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dan unjuran kenaikan aras air laut diukur berdasarkan model Atmosphere-Ocean Global Climate Models atau General Circulation Models (AOGCMs).

Pengarahnya, Mohd Radzi Abdul Hamid, berkata paras air di Malaysia juga akan terjejas akibat pencairan ais kerana ia akan menyebabkan perubahan kandungan air di kawasan Lautan Pasifik dan Laut China Selatan. Perubahan kandungan air di kawasan lautan ini akan menyebabkan peningkatan paras air laut, terutama di negeri yang menghadap Laut China Selatan seperti Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor.

Akibatnya, pelbagai impak sudah dikesan terutamanya terhadap perubahan ekosistem bumi. Kajian mendapati paras air laut semakin meningkat setiap tahun. Ini kerana kajian pada tahun 1995 mengunjurkan kenaikan purata aras laut global adalah sebanyak 13 hingga 94 sentimeter bagi tahun 1990 sehingga tahun 2100.

Perubahan drastik

Bagaimanapun, pada tahun 2009, kajian yang dijalankan dengan penilaian semula dan beberapa penambahbaikan menunjukkan perubahan drastik terhadap unjuran perubahan purata aras laut iaitu 10 hingga 100 sentimeter dari tahun 2010 sehingga 2100.

Ini kerana laporan penyelidik mendakwa ais polar yang menyelubungi Lautan Artik sedang mengalami pencairan pada kadar yang jauh lebih cepat daripada jangkaan awal saintis.


PERKAMPUNGAN atas air seperti di Kampung Numbak yang dijadikan penempatan nelayan tempatan Kuala Menggatal dan Sepanggar turut dipercayai menjadi sasaran pendatang asing membina rumah setinggan menjadikan kawasan berkenaan kelihatan padat dan sesak. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kesan peningkatan paras laut

Jika kenaikan paras air melebihi paras bahaya, pelbagai kesan akan berlaku kepada penduduk dan kawasan berhampiran. Ini kerana 30 peratus daripada penduduk Malaysia tinggal di kawasan zon pantai iaitu 5 kilometer dari zon pasang surut.

Kepadatan penduduk adalah tinggi di kawasan ini dengan 55 peratus kadar pekerjaan yang membabitkan pelbagai sektor perkhidmatan, perindustrian dan pertanian. Zon pantai juga kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.

Kesan fizikal:

Berlaku kebanjiran pantai dan kehilangan tempat tinggal selain hakisan tanah.

Berlaku mendapan dan menyebabkan infrastruktur akan terjejas dan tidak sesuai untuk diduduki (roboh atau terhakis).

Penduduk terpaksa dipindahkan, infrastruktur sedia ada perlu dibina semula, tanah hilang.

Kesan sosio-ekonomi:

Kehilangan nyawa, harta benda dan ekosistem semula jadi, aktiviti ekonomi terjejas, gangguan pada kesihatan dan mental serta pencemaran.

Banyak kawasan pertanian akan terjejas.

Kesan pencerobohan air masin

Tidak ramai yang sedar kesan pencerobohan air masin masuk ke dalam sungai menjadikan sumber air tawar terjejas sekali gus menyebabkan sungai menjadi payau.

Paras air laut meningkat tetapi paras air sungai hanya di tahap yang sama dan akan menyebabkan aliran air sungai tidak dapat disalurkan ke laut.

Akibatnya air laut akan memasuki sungai dan menyebabkan banyak hidupan air tawar berpindah selain tumbuhan di sekitar akan mati.

Kesan pencerobohan air masin boleh dilihat sedang berlaku di Muar, Johor yang menjadikan punca sumber air utama penduduk di sana (iaitu sungai) terjejas.

Begitu juga di kawasan Bagan Datoh, Perak yang mana banyak tanaman sawit mula menunjukkan perubahan dan mati. Ini adalah satu kesan peningkatan air laut yang menceroboh masuk ke kawasan daratan terutama ketika fenomena air pasang besar.

Begitu juga dengan pokok bakau yang selama ini diketahui sebagai penghadang hakisan semula jadi yang semakin berkurangan atau mati. Puncanya, pokok bakau ini mempunyai sifat boleh bergerak menghampiri daratan jika paras air laut semakin meningkat. Tetapi disebabkan oleh pembangunan, pokok bakau tidak boleh bergerak menghampiri pantai dan akibatnya ia menjadi lemah seterusnya mati atau berpindah ke kawasan lain.

Fenomena ketiadaan pokok bakau akan mengakibatkan berlaku hakisan teruk bukan saja di kawasan pantai tetapi terhadap pembangunan dan infrastruktur.

Infrastruktur seperti jambatan dan bangunan akan terhakis. Kajian simulasi yang dijalankan oleh NAHRIM mendapati ada pergerakan infrastruktur, pergerakan batu dan hakisan jika paras air laut naik.

Bagaimana hakisan tanah boleh berlaku

Hakisan Semula Jadi

- Arus pasang surut

- Ombak besar (ketika pasang besar)

- Peningkatan aras laut

Akibat aktiviti manusia

- Penebangan hutan bakau

- Perlombongan pasir

- Tebus guna tanah

- Pembinaan jambatan, pelabuhan dan marina

Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan (NCES) menunjukkan 29 peratus daripada 4,809 kilometer pantai Malaysia mengalami hakisan.

Kategori hakisan pantai dipecahkan berdasarkan faktor fizikal dan sosioekonomi:

Kategori Satu: Memberi ancaman hakisan semasa yang kritikal terhadap nyawa dan harta benda.

Kategori Dua: Hakisan adalah ketara dan dianggap mengancam nyawa dan harta benda dalam tempoh lima tahun sekiranya tiada pertahanan dibuat, selain memerlukan pemantauan seperti yang berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kategori Tiga: Tiada ancaman hakisan terhadap harta benda atau ekonomi. Contoh seperti di Rompin, Pahang.

Kawasan yang mengalami hakisan kritikal adalah seperti di Pantai Sabak, Kelantan; Pantai Bersih, Pulau Pinang; Kuala Perlis, Perlis dan Kuantan, Pahang.

Kesan kenaikan paras air kepada hidupan laut

Jumlah karbon dioksida (CO2) yang bertambah di udara, lebih banyak CO2 meresap ke dalam laut yang menyebabkan pertambahan suhu air laut.

Peningkatan suhu air laut menjejaskan proses kitaran biologi, geologi dan kimia hidupan marin seperti ikan dan terumbu karang.

Perubahan ekosistem menyebabkan ikan dan hidupan marin lain berpindah ke tempat yang lebih sejuk.

Peningkatan suhu laut menyebabkan kelunturan karang.

Situasi ini turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan. Ini kerana kawasan perikanan semakin jauh ke tengah laut, selain ketiadaan pokok paya bakau dan pencerobohan air masin masuk ke dalam kawasan sungai.

Ini kerana kawasan pesisir pantai yang ada terumbu karang, paya bakau dan muara sungai kaya dengan hidupan air. Kehilangan dan terjejasnya perkara ini menyebabkan sumber pendapatan nelayan turut terjejas.

Berita Harian X