Isnin, 27 April 2015 | 4:21pm
DATIN Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbincang di luar Mahkamah Rayuan Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Kes qazaf: Peguam Zainul Rijal tidak lagi wakili tiga anak guam

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tidak lagi mewakili bekas Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dan dua orang lagi dalam kes tuduhan qazaf yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini berikutan Zainul Rijal telah menarik diri daripada mewakili Shamsuddin, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mahammad Ibrahim yang mempengerusikan panel tiga hakim sebulat suara menyatakan permohonan Zainul Rijal itu memenuhi syarat iaitu beliau telah mengisi borang dengan betul dan memaklumkan perkara itu kepada ketiga-tiga anak guamnya.

Sehubungan itu, Mahammad berkata Zainul Rijal dilarang dan ditegah daripada mewakili ketiga-tiga anak guamnya itu berkuat kuasa serta-merta.

Zainul Rijal telah mengisi borang Notis Penarikan Diri Peguam Syarie mengikut Seksyen 95(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 dengan betul dan telah memfailkannya pada 11 Okt 2012.

Mahammad juga membenarkan permohonan Anwar supaya Zainul Rijal tidak dibenarkan mewakili ketiga-tiga mereka itu.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 26 Sept 2012, menolak permohonan Zainul Rijal untuk menarik diri daripada mewakili mereka selepas mendapati peguam syarie itu memfailkan notis permohonan menggunakan borang yang salah.

Notis penarikan diri itu difailkan berikutan permohonan yang dikemukakan Anwar untuk menghalang Zainul Rijal daripada mewakili ketiga-tiga mereka atas alasan Zainul Rijal berkelakuan tidak profesional, tidak bersifat jujur dan tidak berniat baik untuk menegakkan keadilan.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Anwar hadir dalam prosiding hari ini dengan diiringi pegawai penjara.

Sementara itu, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), bersama anggota keluarga lain dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali turut hadir. - BERNAMA

18 dibaca
Berita Harian X