Isnin, 27 April 2015 | 12:17am
BUKIT batu kapur dinamakan Tomanggong Besar dan Tomanggong Kecil yang terbentuk di kawasan tanjung Sungai Kinabatangan dikatakan mempunyai cerita hampir sama dengan kisah Batu Belah Batu Bertangkup, di Sungai Kinabatangan. - Foto Edmund Samunting
SPESIES buaya yang menghuni Sungai Kinabatangan. - Foto Edmund Samunting
Sungai Kinabatangan menjadi habitat buat ribuan sang bedal. - Foto Edmund Samunting
MUSTARA Ranggon. - Foto Edmund Samunting
ABDUL Karim Abdul Hamid. - Foto Edmund Samunting

Orang Sungai buat perjanjian dengan buaya

ORANG SUNGAI, satu daripada 32 etnik di Sabah menyimpan pelbagai misteri berkaitan alam, termasuk dikatakan pernah mengikat perjanjian dengan buaya.

Bagaimana manusia berjanji dengan buaya yang tidak pandai bertutur? Adakah zaman dahulu manusia mampu berinteraksi dengan haiwan seperti cerita dongeng kanak-kanak?

Walaupun pelik, itulah yang menjadi kepercayaan suku kaum Orang Sungai, yang sebahagian besar menetap di sepanjang Sungai Kinabatangan, sungai kedua terpanjang di Malaysia, yang turut menjadi habitat ribuan sang bedal.

Antara kemudahan penginapan untuk pelancong di Kampung Sukau di Kinabatangan. - Foto Edmund Samunting

Persoalan itu dirungkai menerusi penjelajahan wartawan BH ke Kampung Sukau, sebuah penempatan di tebing Sungai Kinabatangan, yang dikatakan antara kawasan mempunyai beberapa tasik ladam serta lubuk buaya dengan sebahagian besar penduduk adalah nelayan tradisional.

Menyusuri Sungai Kinabatangan menuju ke anak Sungai Resang, satu daripada tiga sungai menghubungkan sungai utama dengan danau lubuk buaya, kira-kira sejam perjalanan dari perkampungan itu ternyata membuahkan hasil.

Wartawan dan jurugambar ditemani penduduk yang juga pemandu pelancong, Yusmai Nizam Abdul Jahin, 30 dan jurumudi bot, Hasim Kadim, 30-an, melihat dua buaya berjemur di bawah rimbunan pokok bakau.

WARTAWAN BH, Poliana Ronnie Sidom (kiri) ketika menyusuri Sungai Kinabatangan. - Foto Edmund Samunting

Aksi buaya sebesar dua meter setengah itu bagaimanapun cuma sempat dirakam di antara satu minit hingga dua minit sebelum haiwan yang dikatakan 'pemalu' itu masuk ke sungai apabila bot cuba merapat ke tebing.

Mitos janji dengan buaya atau 'gegejanji gunai boya' dalam bahasa Sungai dikatakan bermula di Sungai Segama, satu lagi kawasan didiami suku kaum Orang Sungai apabila seekor raja buaya bernama Aki Torunggari meminta bantuan nenek moyang Orang Sungai, yang juga seorang bomoh iaitu Odu Sebulig-bulig.

Penduduk, Abdul Karim Abdul Hamid, 66, menceritakan Aki Torunggari cedera dibujak atau ditombak seorang putera iaitu Tadtak, yang marah selepas buaya jadi-jadian itu menyamar sebagai bengkarung untuk masuk ke kolam dipagari gading gajah dan membawa lari adiknya, Darupak kerana mahu mengahwini puteri itu.

SUKAU antara destinasi digemari dan menjadi tarikan kepada pelancong luar dan dalam negeri. - Foto Edmund Samunting

"Odu Sebulig-bulig bersetuju merawat Aki Torunggari, namun membuat perjanjian agar keturunan Orang Sungai tidak akan diganggu sampai bila-bila, apa lagi dibaham reptilia itu dengan syarat mereka tidak kempunan (menunaikan apa-apa hasrat) sebelum turun ke sungai.

"Ada syarat lain yang perlu dipatuhi ketika di sungai, seperti tidak mengasah parang kerana bunyinya menjadikan buaya semakin ganas dan tidak basuh kelambu di sungai kerana boleh menarik perhatian buaya," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Karim berkata, dua pantang larang itu tidak lagi diendahkan sebahagian besar masyarakat etnik Orang Sungai selepas mula memeluk agama Islam atau Kristian, tetapi berpegang teguh kepada kemestian menjamah makanan sebelum turun ke sungai.

Katanya, belum pernah ada kejadian yang didengar atau disaksikan Orang Sungai dibaham buaya kerana mengasah parang atau membasuh kelambu, kecuali jika kempunan ketika turun ke sungai.

MUSTARA Ranggon, menunjukkan seramik Cina yang dijumpainya di Sukau, Kinabatangan, ketika kecil. - Foto Edmund Samunting

Mustara Ranggon, 59, berkata ketika dia berusia 10 tahun, ada seorang gadis dikenali sebagai Ginsana dari Kampung Rasig, sebuah perkampungan kecil di hilir Kinabatangan yang bakal melangsungkan perkahwinannya dalam tempoh seminggu, disambar buaya ketika memudik sungai itu kerana kempunan.

"Kononnya, dia sudah berkali-kali dinasihatkan tidak turun ke sungai kerana lagi seminggu akan bernikah. Ketika berdayung bersama ibu saudaranya, Ginsana yang duduk di bahagian belakang perahu hilang. Ibu saudaranya cuma sedar Ginsana hilang selepas dengar bunyi percikan air. Selepas tiga hari barulah mayat Ginsana ditemui dengan kaki sebelah sudah hilang dimakan buaya. Akhirnya majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung bertukar menjadi kenduri arwah," kata Mustara.

Mustara berkata, selepas kejadian itu, tiada lagi Orang Sungai dibaham buaya, sebaliknya membabitkan pekerja perladangan iaitu lelaki warga Indonesia berusia 20-an, yang dikatakan menjala ikan dengan kaedah melangkah masuk ke Sungai Menanggol, antara lubuk buaya dan paling ditakuti penduduk, kira-kira tiga tahun lalu.

SUKAU antara destinasi digemari dan menjadi tarikan kepada pelancong luar dan dalam negeri. - Foto Edmund Samunting

Terbaharu, pada 29 Mac lalu, seorang pekerja ladang berhampiran Kampung Sangau, Husin Haris, 40-an, turut menjadi mangsa sang bedal ketika memancing di Sungai Kinabatangan bersama tiga lagi rakannya.

Mangsa dikatakan disambar buaya ketika duduk di tebing dan kejadian itu hanya disedari rakannya selepas melihat kocakan air serta kelibat ekor buaya.

Biarpun perjanjian dengan buaya dikatakan cuma terpakai kepada Orang Sungai, Mustara berkata, mereka sentiasa menegah pelancong daripada turun ke sungai tanpa menjamah makanan atau minuman kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

Katanya, mereka juga percaya perjanjian dengan buaya cuma terpakai di Sungai Kinabatangan dan Segama yang menjadi penempatan asal etnik itu biarpun masyarakat Orang Sungai ada yang berhijrah ke tempat lain dan bertebaran di seluruh negeri.

MENJALA, memancing dan memasang bubu adalah antara aktiviti harian bagi penduduk Kampung Sukau di Kinabatangan. - Foto Edmund Samunting

Satu lagi kepercayaan unik Orang Sungai mengenai buaya adalah larangan duduk membelakangkan sungai ketika berada dalam bot.

Sepanjang lebih dua jam berada di Sungai Kinabatangan untuk menjejak kelibat buaya, jurumudi bot mengingatkan kami tidak sesekali duduk membelakangkan bot kerana bimbang musibah berlaku.

Apabila ditanya mengapa, jurumudi menjawab: "Nanti buaya sangka yang duduk itu monyet dan sambar. Monyet gemar duduk membelakangkan sungai," katanya.

 

INFO:

- Tiga anak sungai antara lubuk buaya di Sungai Kinabatangan adalah Sungai Resang, Sungai Menanggol dan Sungai Tenigang.

- Kajian Jabatan Hidupan Liar menunjukkan populasi buaya di sungai utama di Sabah, termasuk Sungai Kinabatangan mencapai kepadatan satu hingga tiga ekor dalam satu kilometer.

- Sungai Kinabatangan sepanjang 550 kilometer dan selebar 300 meter.

 

Berita Harian X