Isnin, 27 April 2015 | 12:02am
MOHD Shahrim Abas (kiri) bergambar bersama wakil UPM yang berkunjung ke Tok Seri Buak Agro Farm. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
ANTARA kambing-kambing di Tok Seri Buak Agro Farm. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
ANAK kambing turut diberi garam bukit. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
KAMBING biri-biri Marino dan biri-biri Black Bally (kaki hitam) ditempatkan di dalam satu tempat yang sama. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
ANTARA anugerah pertandingan yang dimenangi Tok Seri Buak Agro Farm. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
PENGURUS Ladang Kambing Tok Seri Buak, Shamsul Bahari Ramli, mengangkat hampas soya untuk diberikan kepada kambing. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
BEKAS air yang disediakan bagi memudahkan kambing untuk minum. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Program Ladang Angkat bantu penternak tingkat produktiviti


ANAK kambing diasingkan di dalam satu tempat. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Hanya seorang dua sahaja mengembala ratusan lembu dan kambing dalam satu ladang yang keluasannya beberapa hektar bagi kita, tentunya agak mustahil. Inilah realitinya di beberapa negara pengeluar produk tenusu dan daging dunia.

Pengalaman menyaksikan sendiri bagaimana seorang penternak mampu mengendalikan ladangnya bersama isterinya di Belanda beberapa tahun lalu, benar-benar menyentuh hati penulis melihatkan kelembutan layanan mereka terhadap haiwan ternakan.

Tanpa suara yang tinggi, jauh sekali kekerasan menggunakan kayu dan rotan, haiwan ternakan hanya menurut tuan ladang masuk ke kandang apabila tiba waktunya. Sesekali kelihatan penternak menepuk lembut belakang lembu dan kambing untuk menghalau haiwan itu masuk ke kandang.

Penuh rasa hormat dan kasih sayang, haiwan ternakan menerima layanan terbaik daripada penternak. Berkongsi rahsia layanan seumpama itu, penternak berkenaan mengakui jika haiwan dilayan dengan baik, produk tenusu serta dagingnya lebih enak dan berkhasiat.


PENYELARAS Unit Pintar Penyelidikan UPM, Dr Faez Firdaus Jesse Abdullah. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Hasil produk berkualiti, selamat

Tanpa menafikan layanan baik diperlukan haiwan ternakan, Penyelaras Unit Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Faez Firdaus Jesse Abdullah, berkata persekitaran, pemakanan dan keadaan penempatan haiwan ternakan memainkan peranan penting dalam program ternakan bagi menghasilkan produk berkualiti dan selamat.

Justeru, UPM mengorak langkah mewujudkan Program Ladang Angkat sejak September 2011 dengan menjadikan 24 ladang ternakan di sekitar kampus UPM Serdang sebagai ladang angkat dengan menyalurkan khidmat nasihat dan kepakaran dalam industri itu.

"Program ini berkonsepkan menang-menang. Pakar dari UPM akan menyalurkan nasihat dan tunjuk ajar kepada penternak dan pelajar dibenarkan menjalankan latihan klinikal di ladang angkat ini. Ini adalah kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak." katanya ketika ditemui di Ladang Angkat UPM, Tok Seri Buak Agrofarm, Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


MESIN Ultra-sound yang digunakan untuk memastikan kesihatan anak kambing. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Penyelidikan di ladang terpilih

Umpama makmal hidup, ladang terpilih dijadikan tempat menjalankan penyelidikan bagi pensyarah, penyelidik dan pelajar universiti itu.

"Masalah yang sering dihadapi pihak universiti adalah untuk menempatkan pelajar tahun lima jurusan perubatan veterinar di ladang ternakan yang membolehkan mereka menjalankan latihan klinikal. Dengan adanya program ini, pelajar boleh menjalankan latihan klinikal dan mempraktikkan teori yang dipelajari di samping meningkatkan kemahiran ruminan," katanya.

Ladang Angkat ini menyediakan medium bagi latihan klinikal bagi pelajar tahun akhir untuk memantapkan kemahiran klinikal mereka dari segi perubatan dan juga mengaplikasi teknik pembiakbakaan.

Penternak dapat mempelajari cara pengurusan dan rawatan haiwan ternakan yang sakit dan mengekalkan tahap kesihatan keseluruhan baik bagi meningkatkan produktiviti ladang. Dengan sistem kesihatan gerompok dan pembiakbakaan yang terancang serta sistematik ia dapat meningkatkan produktiviti dan kadar pembiakan serta pengeluaran output susu daripada ladang ternakannya.

Lazimnya, apabila pasukannya memasuki satu-satu ladang, penyiasatan dan analisis makanan akan dilaksanakan dalam tempoh satu hingga tiga bulan untuk mengenal pasti masalah sebelum khidmat nasihat serta kepakaran diberikan.

Selain itu, peserta Ladang Angkat UPM juga disarankan memohon akreditasi Amalan Pertanian Baik atau MyGAP daripada Kementerian Pertanian bagi menambah nilai dalam produk serta pengurusan ladang. Ia adalah amalan pertanian yang menekankan aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial untuk memastikan produk yang dihasilkan selamat dan berkualiti.

Dengan adanya sijil MyGAP, ia lebih memudahkan laluan penternak mengeksport berikutan kaedah yang digariskan menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja, menghasilkan produk ternakan berkualiti dan selamat dimakan serta mengurangkan pencemaran alam sekitar serta membantu membangunkan industri penternakan negara yang mesra alam dan lestari.

Sementara itu, Profesor dalam Perubatan Ruminan, Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, Prof Dr Abdul Azizi Saharee, berkata kerjasama UPM dengan penternak dalam program Ladang Angkat ini termasuk perunding pakar seperti ruminan, parasitologi, pembiakan (teriogenologi) dan pemakanan ruminan.

Katanya untuk membantu penternak mengatasi masalah yang dihadapi dan meningkatkan produktiviti serta reproduktiviti di peringkat ladang.


PENASIHAT Program Ladang Angkat Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof Dr Abdul Aziz Saharee. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

UPM adakan jaringan industri

"Ini adalah satu daripada aktiviti UPM dalam mengadakan jaringan industri di sekeliling kampus kami.

Nasihat dan kepakaran turut membabitkan rancangan teliti dalam mewujudkan persekitaran sihat bagi ternakan, isu air kumbahan, alam sekitar dan keselamatan.

"Sama seperti rumah yang tidak tersusun, bersepah dan kotor, tentunya tidak sesuai didiami, begitu juga halnya dengan ternakan. Pengudaraan dan sistem kumbahan yang betul perlu diwujudkan bagi mengelakkan pelbagai penyakit termasuk yang membabitkan pernafasan," katanya.

Menerusi program ini juga, penternak yang sudah stabil dan berkeyakinan untuk berdikari akan digugurkan daripada program ini. Mereka juga disarankan melatih penternak kecil lain yang baharu berjinak dalam bidang ini.

Dua jurutera beralih angin ternak kambing

Bosan bekerja makan gaji dan kehidupan di tengah-tengah laut, dua rakan karib yang bekerja dalam industri kejuruteraan cari gali minyak dan gas mula menceburi bidang ternakan kambing di kampung halaman mereka di Kampung Bukit Buak, Labu, Negeri Sembilan sejak lapan tahun lalu.

Tanpa kepakaran dan pengalaman dalam bidang penternakan secara sistematik, pengusaha ladang Tok Seri Buak Agro Farm (Tok Seri Buak), Amran Sharif, 41 dan Mohd Shahrim Abas, 49, mengalami kesukaran pada peringkat awal termasuk kematian kambing ternakan yang baharu diimport.

Lebih mengecewakan enam daripada sembilan kambing jantan yang dibeli dari Australia mati dipercayai akibat penyakit batu karang dan buah pinggang berikutan perubahan diet. Jumlah kematian turut meningkat setiap bulan.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas Universiti Putra Malaysia (UPM) memilih ladang itu sebagai Ladang Angkat UPM.


RAKAN kongsi Ladang Kambing Tok Seri Buak, Mohd Shahrim Abas bersama kambing jantan. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Cuti dua tahun tumpu ladang ternakan

Bercerita mengenai Tok Seri Buak, Mohd Shahrim yang bercuti kerja sebagai ketua jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas selama dua tahun semata-mata mahu menumpukan ladang ternakan kambing itu, berkata pihaknya memulakan ladang kambing itu dengan membeli 80 kambing termasuk sembilan jantan dari Australia.

"Pada peringkat awal enam kambing jantan mati, manakala pada setiap bulan ada sahaja kambing yang mati akibat penyakit termasuk kambing bunting. Ia benar-benar membimbangkan. Bukan itu sahaja, dari segi pasaran pada peringkat awal memang kami menghadapi masalah berikutan pasaran sengit dengan kambing import," katanya ketika ditemui di ladangnya di Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mohd Shahrim berkata, selepas UPM memilih ladangnya menyertai program Ladang Angkat UPM, pihaknya menerima kepakaran dan khidmat nasihat termasuk dari segi pemakanan ternakan, kandang, sistem kumbahan dan alam sekitar di kawasan ladang.

Dari segi diet, katanya, pihaknya turut mendapatkan nasihat pakar supaya menjadikan rumput gajah atau napier sebagai makanan utama dan palet serta hampas soya sebagai makanan tambahan kambing. Bagi menjimatkan kos operasi, pihaknya turut menanam rumput gajah itu untuk makanan ternakannya di kawasan ladang itu.

"Jika dahulu kita hanya mengagak kambing sudah bunting mengikut saiz perutnya, tetapi ada kala ia tidak tepat dan sukar untuk meramalkan tarikh kelahiran. Dengan adanya kepakaran dari UPM ini, kumpulan pelajar dan penyelidik akan datang untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan kehamilan secara berkala menggunakan mesin pengimbas ultra," katanya yang turut melahirkan kesyukuran dengan permintaan tinggi terhadap kambingnya untuk tujuan akikah, korban dan susu segar.

Penyelaras Unit Pintar Penyelidikan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Dr Faez Firdaus Jesse Abdullah, berkata pada peringkat awal, ternakan di ladang itu banyak mati akibat penyakit pneumonia dan kambing bunting mati akibat kekurangan nutrisi seperti gula.

Selepas menerima nasihat daripada pihak UPM, pemilik ladang mengubah suai kandang, mempraktikkan vaksin pneumonia, menjalankan program kesihatan gerompok, menambah bilangan ternakan dengan memfokuskan tenusu dan hasil anak.

Hasilnya kadar kematian di ladang ini dapat dikurangkan 75 peratus dan penambahan bilangan ternakan dan pendapatan hampir 100 peratus.

Berita Harian X