Ahad, 26 April 2015 | 1:03pm
PENERBIT, Hans Isaac pada persembahan komedi Lawak Ke Der? di Istana Budaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Terkenang arwah Harun Salim Bachik - Hans Isaac


KUALA LUMPUR: Sudah mula dipentaskan sejak 25 April lalu, teater muzikal Baik Punya Cilok adaptasi filem dengan judul yang sama akan berakhir pementasannya pada 3 Mei ini.

Secara kebetulan dan tanpa dirancang, versi teater ini hadir pada tahun ke-10 sambutan ulang tahun Baik Punya Cilok. Malah ia turut menyaksikan ukhuwah antara Hans Isaac dan Datuk AC Mizal kembali bertaut.

Perang dingin selama lapan tahun antara dua pelakon itu ketika menjayakan teater muzikal Cuci akhirnya menemui titik noktah. Selain dua pelakon asal berkenaan, Awie dan Afdlin yang turut berlakon filem Baik Punya Cilok turut dikekalkan.

Afdlin selain berlakon turut bertindak sebagai pengarah serta penulis skrip untuk teater berkenaan.

Turut membintangi teater ini ialah Vanidah Imrah, Dira Abu Zahar, Chelsia Ng dan Hafizuddin Fazil.

Hafizuddin Fazil atau mesra dengan nama Fish turut berlakon membawakan watak Leman menggantikan Allahyarham Harun Salim Bachik.

ALLAHYARHAM Harun Salim Bachik. - Foto Zunnur Al Shafiq

Allahyarham seperti diketahui umum meninggal dunia Mac lalu selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak,

"Sejak beberapa hari berlatih untuk pementasan teater ini dalam masa yang singkat, saya sendiri saat melihat pelakon Fish membawakan watak Leman yang pernah dilakonkan arwah dan saat itu juga saya mula teringatnya. Susah untuk lupakan arwah. Harapnya arwah akan bangga dengan apa yang kami lakukan saat ini.

"Arwah seorang pelakon yang mahu kita menghiburkan masyarakat. Dan sekalipun dia tak berada di atas pentas atau berlakon di kaca TV mahupun layar perak, arwah mahu kita ikhlas menghibur," kata Hans.

Ditanya kenapa peminat teater perlu ke Panggung Sari Istana Budaya untuk menonton Baik Punya Cilok, Hans menjelaskan teater berkenaan sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

"Bukan senang nak satukan pelakon terbaik di Malaysia dan kita berjaya merealisasikannya juga. Teater ini bukan teater Supermokh atau Cuci, ia hadir dengan gaya tersendiri. Saya beritahu Afdlin supaya dia tidak mengarah seperti cara saya mahupun Harith Iskander. Jiwa Afdlin pun lain dengan saya. Teater ini sangat unik dan nak tahu kena datang tengok.

PELAKON, dari kiri, AC Mizal Zaini, Ahmad Azhar Othman atau Awie, Afdlin Shauki dan Hans Isaac pada pelancaran Teater Baik Punya Cilok di Istana Budaya. - Foto Adi Safri

"Teater ini juga menampakkan sisi matang kami semua. Seronok untuk melihat AC Mizal kembali bersama kami. Awie pun seperti kita tahu berdepan masalah peribadi dan kami tumpang sedih.

"Cuma di sebalik masalah yang timbul, ia seolah hilang apabila kami berada di atas pentas. Satu kenikmatan buat kami apabila melihat orang ketawa melihat pementasan ini," katanya.

Baik Punya Cilok mengisahkan empat sahabat, Aben (Afdlin), Bob (Awie), Jerry (Hans) dan Wak (AC) yang berpakat merompak tauke kedai pajak, Tauke Wong bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang telah dipajakkan ketika Wak mahu mengahwini Nazatul.

Tiket berharga RM55, RM85, RM110, RM140, RM160 dan RM190 boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz atau boleh hubungi Istana Budaya di talian 03-42532241.

Berita Harian X