Khamis, 23 April 2015 | 2:44pm

Lelaki cari lembu hilang ditemui mati

JERTEH: Seorang penternak lembu ditemui mati di kawasan kebun kelapa sawit dekat Kampung Hutan Padang Tapong di sini kira-kira jam 3.30 petang semalam oleh seorang rakannya.

Mangsa, Muhamad Suhaimi Mohamed, 59, yang bekerja sendiri tinggal di Kampung Padang Luas, di sini kira-kira lapan kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah berkata sebelum itu mangsa yang bersendirian mencari lembunya yang hilang, menghubungi rakannya yang dikenali sebagai June di Pasir Putih, Kelantan untuk datang membantunya kira-kira jam 2.00 petang semalam.

Katanya, apabila sampai di kawasan hutan berkenaan, June cuba menghubungi mangsa melalui telefon bimbit dan rakannya memberitahu dia berada di satu kawasan dengan menyeberang sebatang sungai di situ.

"Kira-kira sepuluh minit kemudian, rakannya terdengar bunyi salakan anjing kepunyaan mangsa dari satu kawasan sebelum disusuli bunyi tembakan sebanyak dua kali," kata Khaled kepada media di sini hari ini.

Curiga dengan bunyi tembakan itu, rakannya bergegas ke kawasan itu dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang dengan senjata masih di dakapan manakala seekor babi hutan turut ditemui mati 15 meter dari situ.

Mayat mangsa dikeluarkan daripada kawasan berkenaan kira-kira jam 11.00 malam tadi dan dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat.

Pihak Hospital Daerah Besut mengesahkan kematian mangsa disebabkan serangan jantung dan pemeriksaan ke atas mayat mangsa juga didapati tiada sebarang kesan kecederaan kecuali hanya luka kecil di bawah telinganya. - BERNAMA

Berita Harian X