Khamis, 23 April 2015 | 12:39am

Tilawah: 7 lagi peserta perdengar bacaan


PESERTA termuda qariah dari Pulau Pinang, Awatif Abd Majid memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran pada hari ketiga Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58 yang diadakan di Pusat Islam Wilayah Persekutuan malam ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari ketiga Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58 di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini, malam tadi.

Antara yang memperdengarkan bacaan ialah peserta termuda, Awatif Abd Majid, 22, yang mewakili Pulau Pinang.

Berkelulusan Diploma Qiraat dan Taranum dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), beliau memperdengarkan bacaan surah Al-Rum, ayat 40.

"Ini kali ketiga saya menyertai tilawah ini dan berharap saya dapat ke peringkat antarabangsa nanti," katanya ketika ditemui pemberita.


QARIAH dari Perlis, Selasiah Akob memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran pada hari ketiga Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58 yang diadakan di Pusat Islam Wilayah Persekutuan malam ini. - Foto Yazit Razali

Sementara itu, Selasiah Akob, 67, dari Perlis yang juga peserta tertua daripada keseluruhan 28 peserta, memperdengarkan bacaan surah Al-Nahl, ayat 40.

Peserta lain ialah Mohamad Nor Ahmad (Wilayah Persekutuan), Abdul Khair Jalil (Selangor), Nor Syuhada Mohamad (Johor), Syamsul Abu Hasan Al-Shaari (Perak) dan Nor Hidayah Abd Rahman (Terengganu).

Majlis Tilawah Al-Quran yang berlangsung selama enam hari bermula Isnin lalu, menghimpunkan seramai 28 peserta merangkumi 14 qari dan 14 qariah dari setiap negeri.

Johan qari dan qariah peringkat kebangsaan akan mewakili Malaysia ke Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa dari 9 hingga 14 Jun depan, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

- BERNAMA

Berita Harian X