Khamis, 23 April 2015 | 12:01am

Fahami siapa pendengar pastikan dakwah memberi impak

APA yang penting dalam berdakwah adalah memahami siapa pendengar kita dan menyampaikan mengikut kesesuaian mereka supaya apa disampaikan difahami serta memberi manfaat, demikian pesan pendakwah yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sukki Othman.

"Macam saya, walaupun terbabit dalam dunia akademik, dua perkara perlu difahami iaitu apabila berdepan dengan pelajar ia adalah pendidikan dalam bentuk formal tetapi apabila memberi kuliah, ceramah di masjid atau program tertentu, kita perlu mengetahui hubungan dengan pendengar.

"Saya tidak bersetuju sebagai ahli akademik hanya duduk di kampus. Dakwah perlu disampaikan kerana masyarakat mahu tahu dan untuk mereka beramal kepada Allah. Jika sekadar di bilik kuliah, akhirnya kita tidak membumi, justeru perlu turun kepada masyarakat," kata anak kelahiran Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, Seberang Perai, Pulau Pinang itu ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau yang kini mengajar Mukjizat Al-Quran, Bahasa Arab dan Tamadun Islam di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama alIrshad, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai (1987-1991).

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Yarmouk University, Jordan, di antara tahun 1992 hingga tahun 1996 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Arab dan Syariah.

Sekembalinya ke Malaysia, Mohd Sukki melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Pengajian Islam pada tahun 2001, seterusnya memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam bidang I'jaz alQuran dari Universiti Malaya (UM).

Di samping dunia akademik, Mohd Sukki terbabit dalam mengendalikan ceramah agama dan motivasi di televisyen, antaranya rancangan Tanyalah Ustaz di TV9, Al-Kuliyyah (TV3), Anda Musykil (TV1) dan slot di TV Al-Hijrah.

Sesuai dengan bidang akademik yang diceburi, beliau turut menulis selain menjadi kolumnis dalam beberapa majalah seperti Solusi, Fardu Ain dan al-Ustaz.

Mohd Sukki berkata, sebagai pendakwah, seseorang itu perlu menggunakan teknik komunikasi berkesan dan menyesuaikan kaedah berdakwah supaya apa disampaikan memberi impak kepada mereka yang mendengar.

Beliau yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti dakwah selepas tamat pengajian berkata, seseorang perlu sentiasa meningkatkan ilmu yang bukan saja dapat dikongsi bersama mereka yang mengikuti kuliah diadakan tetapi juga memantapkan diri.

Menyambung cerita, Mohd Sukki berkata, membuat rujukan sebelum menyampaikan kuliah juga perlu.

Menceritakan pengalaman belajar di Jordan, Mohd Sukki berkata, ia sesuatu yang menyeronokkan kerana suasana negara berkenaan memudahkan beliau untuk memahirkan diri dengan pengajian bahasa Arab yang diikuti dan ia adalah antara faktor penting.

"Untuk belajar bahasa Arab perlu ada suasana Arab. Bukan bermakna kita tidak boleh belajar bahasa Arab di Malaysia, tetapi jika di sini kita perlu wujudkan suasana itu. Namun yang penting ialah sikap untuk belajar kerana ilmu," katanya sambil menambah selepas empat tahun di Jordan beliau ke Syria untuk bertalaqi dengan guru di sana.

Mohd Sukki berkata, apabila bertalaqi dengan guru di sana, pelajar akan dapat merasai keikhlasan guru berkenaan dan `roh' guru yang ikhlas memang berkesan memberi impak positif kepada anak murid.

Baginya, bertalaqi secara tidak formal itu lebih berkesan.

Di samping itu, katanya, minat untuk belajar dan mempunyai daya usaha adalah faktor menjadikan sesi pembelajaran lebih mudah.

Begitulah juga dalam soal berdakwah, perlu ikhlas, tidak menjadikan ia sebagai sumber kekayaan atau memilih pendengar seperti golongan tertentu saja kerana perkara itu boleh menyebabkan keberkatan dakwah hilang.

Ditanya mengenai situasi pengajian di masjid dan surau pada waktu ini yang tidak menggunakan kitab, hanya guru saja memiliki kitab, ia menjadikan sesi pembelajaran lebih santai sedangkan jemaah sepatutnya turut melihat kepada kitab untuk rujukan.

"Dalam situasi sebegini (kuliah menggunakan kitab), ada baiknya jika pihak masjid atau surau menyimpan kitab berkaitan dan apabila ada sesi pengajian ia diedarkan kepada jemaah. Sekurang-kurangnya dengan kaedah ini, jemaah membaca dan mendengar kuliah disampaikan," katanya.

Mohd Sukki berkata, seperti bidang lain, berdakwah juga ada cabaran tersendiri seperti program yang diadakan tidak ramai yang hadir. Bagaimanapun, itu sama sekali tidak mematahkan semangat pendakwah kerana tugas menyampaikan perlu dilaksanakan biarpun kepada kelompok yang kecil.

"Bagi saya walaupun sedikit tetapi jika berkualiti, ia sudah cukup baik kerana apa yang penting adalah kesungguhan dalam berdakwah. Pendakwah juga perlu bersifat sederhana, tidak terlalu keras atau terlalu lembut tetapi pendekatan yang dapat diterima baik masyarakat," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X