Rabu, 22 April 2015 | 1:33am
QARIAH dari Negeri Sembilan, Noorliza Tajudin memperdengarkan bacaan Al -Quran bacaan ayat suci Al-Quran pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-58 yang diadakan di Pusat Islam Wilayah Persekutuan malam tadi. - Foto Yazit Razali

Tujuh perdengar bacaan hari kedua Tilawah al-Quran


QARI dari Johor, Muhamad Muslim Ali memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-58 yang diadakan di Pusat Islam Wilayah Persekutuan malam tadi. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Hari kedua Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-58, malam tadi, menyaksikan empat qari dan tiga qariah memperdengarkan bacaan masing-masing di Kompleks Pusat Islam, di sini.

Qari dari Sarawak, Hamim Mohd Shahib selaku peserta pertama membaca surah al-Imran ayat 169 dengan taranum bayati dan sikah, diikuti Munirah Kasim dari Kelantan, memperdengarkan bacaan surah al-Maidah ayat 48 dengan taranum nahawand serta jiharkah.

Muhamad Muslim Ali mewakili Johor pula membacakan surah al-Hajj ayat 38 dengan taranum nahawand serta jiharkah, diikuti Noorliza Tajuddin (Negeri Sembilan) memperdengarkan surah Maryam ayat 59 (bayati serta jiharkah) dan Khalil Khusairi Zainol (Perlis) dengan surah al-Baqarah ayat 115 (bayati serta jiharkah).

Qariah Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar membacakan surah al-Nisa ayat 58 (bayati serta jiharkah) dan qari dari Pulau Pinang, Muhammad Siddiq Mohd Rosli, memperdengarkan surah al-Baqarah ayat 153 (nahawand dan sikah).


ORANG ramai hadir menyaksikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-58 yang diadakan di Pusat Islam Wilayah Persekutuan malam tadi. - Foto Yazit Razali

Pemenang utama Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-58 dengan tema 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' bakal menerima hadiah wang tunai RM30,000.00 berbanding RM15,000.00 tahun lalu.

Naib johan bakal membawa pulang wang tunai RM20,000.00 berbanding RM10,000.00 tahun lalu, ketiga RM15,000 (RM7,500 tahun lalu) dan sagu hati RM4,500 daripada RM3,000 sebelum ini.

Selain itu, johan qari dan qariah peringkat kebangsaan akan mewakili Malaysia ke Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa pada 9 hingga 14 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam semalam.

Berita Harian X