Rabu, 22 April 2015 | 12:20am

Gambus kian dilupakan di Johor


GAMBUS sebenarnya genre seni muzik yang tersendiri meskipun umum menganggapnya hanya satu elemen dalam persembahan ghazal yang popular di Johor.

Barangkali salah faham itulah yang menyebabkan gambus sebagai genre seni yang tersendiri seakan-akan dilupakan di Johor tetapi mujurlah masih terus dimartabatkan di Sabah.

Persembahan alat muzik bertali yang berasal dari Asia Barat itu masih bernyawa sehingga diangkat sebagai instrumen perpaduan dalam kalangan etnik Brunei-Sabah.

Realiti dan masa depan gambus itu dikongsi pada Bicara Gambus II bertemakan Gambus: Manifestasi Budaya Melayu-Seni Yang Terpinggir di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Mohd Nizam Attan, melahirkan kekecewaan kerana tiada langkah konkrit untuk mengangkat gambus ke tahap yang lebih baik di Johor.


PERSEMBAHAN gambus pada majlis Bicara Gambus di Muzium Negara. - Foto Adi Safri

Tiada usaha bawa gambus

"Di Johor, usaha membawa gambus ke depan seakan-akan tidak dilakukan sedangkan suatu masa dulu, persembahan gambus mendapat sambutan menggalakkan dan menarik perhatian masyarakat.

"Di sebalik elemen cinta yang banyak dalam persembahan gambus, lagu yang dimainkan sarat dengan nasihat dan berupaya mendidik masyarakat seperti Bunga Hati, Air Mata Hati dan Selamat Pengantin Baharu yang pernah popular di Johor.

"Oleh itu, sebagai seorang pewaris penggiat gambus, saya mengambil inisiatif untuk melakukan kajian dan berkongsi dengan masyarakat menerusi penerbitan buku, antaranya yang berkisar asas permainan gambus, selain mendapatkan geran penyelidikan daripada UMK untuk kajian gambus di seluruh negara," kata anak jati Johor, yang bergiat secara serius dalam seni muzik gambus itu.

Selain itu, Mohd Nizam berkata, penyelidikan itu juga merangkumi bentuk dan identiti gambus di negara ini, termasuk aspek teknikal dalam pembuatan gambus seperti jenis kayu digunakan.


TETAMU, Shahriza Dawila mengajukan soalan kepada ahli panel pada majlis Bicara Gambus di Muzium Negara. - Foto Adi Safri

Bercirikan oud, ada keaslian tersendiri

"Dalam konteks tradisi di Johor, proses pembuatan alat muzik ini bersifat ikut-ikutan, iaitu tukang kayu membuatnya mengikut ciri asal gambus Arab atau turut dikenali sebagai oud tanpa mengkaji sudut teknikalnya.

"Walaupun pembuatannya merujuk secara langsung kepada gambus Arab, ia mempunyai keaslian tersendiri yang perlu diberi penekanan lanjut," katanya pada acara yang dikendalikan oleh Pengasas Pusat Konservatori Negara, Raja Zulkarnain Raja Mohd Yusof.

Menceritakan semula asal-usul gambus di Johor, Mohd Nizam berkata, ia dibawa ke Tanah Melayu melalui pedagang Arab pada abad ke-19 menerusi Surabaya dan Betawi, sebelum berkembang ke Singapura dan Johor pada awal abad ke-20.

"Sekitar 1920-an hingga 1930-an, terdapat beberapa tokoh yang bertanggungjawab memperkenal dan mengembangkan seni ini di Singapura, termasuk Tuan Syed Abdullah Al-Habsyi dan Tuan Syed Ali Abdul Rahman Al Syagof.


Mohd Nizam Attan. - Foto Adi Safri

Gambus dibawa ke Johor

"Di Johor pula, seni persembahan gambus dibawa oleh bapa saya, Allahyarham Attan Hassan yang ketika itu bekerja di Singapura pada era 1940-an selepas mempelajarinya daripada pedagang Arab yang berhijrah di sana.

"Pada tahun 1955, beliau kembali ke Johor dengan membawa kesenian gambus, nasyid dan qasidah untuk diajar di sekitar Pontian dan Batu Pahat, sekali gus menubuhkan Kumpulan Gambus Nurulhilal, yang terkenal bermula dekad 1970-an sehingga lewat 1990-an," katanya.

Mengulas mengenai corak permainan gambus pada era lalu terutama 1970-an hingga 1980-an, Mohd Nizam berkata, persembahan gambus dimainkan di tempat yang dibina khas dipanggil 'balai', yang diperbuat daripada kayu, berlantaikan papan dan beratapkan nipah atau zink.

"Kebiasaannya balai dalam majlis keraian dan kenduri digunakan untuk menjamu tetamu, manakala pada sebelah malam, persembahan gambus pula mengambilalih.


Saat Awang Damit - Foto Adi Safri

Dimainkan pada majlis perkahwinan

"Persembahan gambus diadakan selepas Isyak untuk menghiburkan saudara-mara, jiran dan kenalan yang banyak membantu majlis perkahwinan pada siang hari tadi sebagai tanda terima kasih oleh tuan rumah," katanya.

Lain pula nasib seni gambus di Sabah apabila Pensyarah Kanan Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Saat Awang Damit, ketika menyampaikan makalah Gambus Instrumen Perpaduan Dalam Kalangan Etnik Brunei-Sabah.

Saat mendedahkan gambus sebagai genre seni pernah hampir pupus pada akhir 1980-an dan 1990-an kerana penggemarnya semakin berkurangan dan lebih tertumpu dalam kalangan golongan dewasa.

"Ketika itu, persembahan gambus hanya mendapat perhatian di daerah Bongawan sedangkan di tempat lain seperti Membakut, Kuala Penyu, Kota Klias, Weston dan Sipitangamat, iramanya jarang diperdengarkan walaupun majoritinya didiami oleh masyarakat Brunei.

"Lagu warisan seperti Sayang Jamilah, Andai Andai dan Anak Ayam juga hampir pupus, cuma sekali-sekala diperdengarkan dalam majlis perkahwinan tetapi kurang menarik minat generasi muda," katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah.


BARISAN ahli panel pada majlis Bicara Gambus di Muzium Negara. - Foto Adi Safri

Aktiviti tahunan, kalendar pelancongan

Bagaimanapun, Saat berkata, Pesta Gambus mula dianjurkan sebagai aktiviti tahunan sejak September 2000 dan pada tahun ini, ia dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri, sekali gus diangkat sebagai produk pelancongan.

"Ia bukan saja mula mendapat perhatian masyarakat etnik Brunei-Sabah, bahkan turut diterima oleh pelbagai etnik lain yang turut serta dan hadir pada pesta berkenaan serta menerimanya sebagai warisan budaya etnik Brunei.

"Gambus menjadi elemen penting dalam penyatuan masyarakat dan menyuntik semangat perpaduan kaum pada pesta berkenaan, yang bukan saja dimeriahkan dengan pertandingan, bahkan diterapkan elemen tarian tradisional dengan peserta lengkap berpakaian mengikut etnik masing-masing," katanya.

Mengulas mengenai keunikan gambus Sabah, Saat melihat bentuk burung yang diukir di kepala gambus menyerupai seludang, sekali gus membezakannya daripada alat muzik di Kalimantan dan Johor.


TETAMU yang hadir pada majlis Bicara Gambus di Muzium Negara. - Foto Adi Safri

Amalan perubatan dalam gambus

Tambahnya, gambus pernah dikaitkan dengan amalan perubatan tradisional di Sabah khususnya di sekitar Bongawan pada dekad 1960-an.

"Gambus yang dimainkan itu, dikatakan membuatkan pesakit menjadi khayal dengan kemerduan alat muzik itu, yang kemudian akan berkongsi kisah mengenai penyakit yang dialaminya. Amalan itu akhirnya hilang apabila dakwah Islam semakin berkembang di Sabah," katanya.

Sementara itu, Raja Zulkarnain turut berkongsi pandangan mengenai kesukaran aktivis gambus untuk membentuk standard yang dapat memberikan identiti dan penjenamaan kepada gambus tempatan.

"Setakat ini, belum ada standard khusus gambus tempatan yang agak sukar dilakukan kerana kebanyakan tukang yang membuat alat muzik ini sudah terbiasa dengan cara mereka, apatah lagi kebanyakannya golongan tua.

"Ia mungkin mengambil masa untuk memberi pendedahan kepada mereka, tetapi dalam kalangan pemain, tidak ada masalah kerana kebanyakannya sudah berubah.

"Jika dulu, ramai yang cuma menggunakan tali pancing atau tali gitar sebagai tali gambus, tetapi kini mereka sudah pun menggunakan tali sebenar," katanya.


AZLINA Ariffin mengajukan soalan kepada ahli panel pada majlis Bicara Gambus di Muzium Negara. - Foto Adi Safri

INFO

* Tokoh muzik gambus di Johor ialah Attan Hassan dan Abdul Kadir Awang, manakala tokoh pembuat gambus pula adalah Hassan Othman.

* Kumpulan Gambus Nurulhilal berasal dari Rengit, Batu Pahat antara pelopor muzik gambus dan banyak menghiburkan masyarakat dalam acara keraian terutama perkahwinan, majlis khatam al-Quran dan berkhatan.

* Alat muzik gambus berbentuk oval pada permukaannya dan ia terdapat dalam pelbagai jenis daripada gambus bertali tiga sehingga 12 tali.

* Sekitar tahun 1800, alat muzik ini dibawa ke Tanah Melayu dan paling popular di negeri Johor serta masyarakat Brunei di Sabah.

* Awang Besar Pengiran Apong diibaratkan sebagai bapa gambus moden Brunei Sabah.

58 dibaca
Berita Harian X