Selasa, 21 April 2015 | 7:13pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Isu salib: Berbincang dahulu, jangan timbulkan keresahan masyarakat - PM

KUALA LUMPUR: Penduduk yang membantah pemasangan lambang salib di Taman Medan, Petaling Jaya, kelmarin sepatutnya mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan sebelum mengambil tindakan yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Kabinet hari ini juga mengambil maklum dan membincangkan mengenai bantahan sekumpulan penduduk itu terhadap pemasangan lambang salib di luar rumah kedai.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor juga berkuasa ke atas status rumah kedai terbabit sama ada ia sudah berdaftar sebagai rumah ibadat dan diberi kebenaran untuk beroperasi.

"Polis akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan penduduk berkenaan yang telah mengadakan bantahan di hadapan premis berkenaan. Jika mereka didapati melanggar undang-undang negara, tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan atau undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya, hari ini.

Najib menjelaskan, Akta Hasutan bertujuan menjamin keamanan serta keharmonian kaum di negara ini dan ia melindungi semua agama serta kaum.

Justeru, beliau mahu rakyat sentiasa mematuhi undang-undang negara dan menghormati amalan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Selain itu, kita hendaklah mengamalkan sikap toleransi serta saling hormat menghormati antara kaum yang berbeza agama," katanya.

Berita Harian X