Selasa, 21 April 2015 | 3:19pm
RAHEEM Sterling (kiri) bersaing untuk bola dengan pemain Aston Villa, Ron Vlaar dalam pada perlawanan bola sepak separuh akhir antara Liverpool dan Aston Villa di Stadium Wembley di London. - Foto EPA

Liverpool hilang 10 bintang tapi Henderson, Countinho kekal

LIVERPOOL: Misi getir menggamit Liverpool untuk 'membina semula pasukan baharu' selepas ada perkhabaran terkini menyebut sekurang-kurangnya 10 pemain utama dijangka meninggalkan kelab itu akhir musim ini.

Ini termasuk penyerang muda sensasi, Raheem Sterling, 20, yang disebut dipancing oleh gergasi Serie A, Juventus dengan nilai perpindahan STG50m (RM275 juta) selepas anak didik Brendan Rodgers tersingkir daripada Piala FA selepas dikejutkan Aston Villa 2-1 tempoh hari.

Namun, perkhabaran ceria adalah Jordan Henderson sudah menyuarakan minat kekal bersama The Reds, Isnin dan sedia menyambung kontrak dengan gaji STG100,000 (RM540,000) seminggu sehingga 2020.

Antara pemain lain dikaitkan akan mengucapkan selamat berpisah kepada juara Eropah lima kali itu adalah Martin Skrtel, Mario Balotelli, Glen Johnson, Kolo Toure, Rickie Lambert, Javi Manquillo, Fabio Borini serta penjaga gol simpanan, Brad Jones.

Kapten pasukan, Steven Gerrard sudah lebih awal mengumumkan akan meninggalkan Liverpool untuk beraksi di Liga Bola Sepak Utama AS mewakili Los Angeles Galaxy.

Pemain pertahanan, Johnson boleh meninggalkan kelab atas perpindahan bebas selepas tamat kontrak, begitu juga Kolo Toure.

Masa depan Skrtel pula kurang jelas sama ada mahu menyambung kontrak baharu atau berpindah ke Wolfsburg.

Sementara itu, Philippe Coutinho dan Daniel Sturridge dikatakan akan kekal. - BBC Sport

Berita Harian X