Selasa, 21 April 2015 | 12:05am
PERSOALAN sama ada dangdut masih relevan atau tidak sukar untuk dijelaskan, ..Amelina. - Foto Munira Abdul Ghani
AMELINA percaya masih ramai yang menggemari irama dangdut. - Foto Munira Abdul Ghani
RATU Dangdut hanya gelaran, Amelina tidak kisah melepaskannya jika ada yang mahu. - Foto Munira Abdul Ghani

Amelina 'lelong' gelaran Ratu Dangdut

KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun menghilang daripada persada seni, kehadiran semula ratu dangdut Amelina beberapa bulan lalu dilihat mampu menyemarakkan kembali genre muzik berkenaan.

Tetapi selepas itu muzik yang diperjuangkan ibu kepada enam anak ini pada awal kemunculannya dirasakan tidak memberi impak langsung.

Bagi penyanyi yang pernah mencipta fenomena dalam industri muzik tempatan sekitar 1990-an, setiap genre muzik itu ada keistimewaan masing-masing.

Baginya muzik itu bersifat universal. Justeru, bagi ratu dangdut yang juga pemilik nama penuh Norazlina Amir Sharipuddin, persoalan sama ada dangdut masih relevan atau tidak sukar untuk dijelaskan.

Malah selepas kehilangan Amelina dahulu, kebangkitan irama dangdut yang diperjuangkan penyanyi lain bagaikan bermusim dan tenggelam timbul.


AMELINA kini selesa bergaya bersesuaian dengan usianya, sedikit vogue tapi sopan. - Foto Munira Abdul Ghani

Bagi Amelina, apa yang dilakukannya kini bagi meneruskan survival dan besar harapannya jika irama dangdut masih diterima seperti suatu ketika dahulu.

"Selagi ada yang menyokong termasuk peminat, stesen TV, radio dan teman wartawan, saya rasa irama dangdut ini masih ada harapan untuk kembali bernyawa. Saya percaya masih ada yang menggemari irama dangdut," kata Amelina kepada BH Plus.

Kembalinya Amelina untuk merancakkan arena seni, sebenarnya tanpa digalas sekelumit pun perasaan mahu mencabar atau menggugat sesiapa. Malah, hingga saat ini penyanyi lagu Semakin Rindu Semakin Asyik ini memanjat kesyukuran kerana 'come back' dirinya diterima ramai dalam kelompok industri hiburan tanah air.

Mengikut Amelina, beliau kembali menyanyi kerana nak cari rezeki dan tak ada niat mahu menggugat sesiapa. Dalam usia 40-an, apa yang beliau fikirkan sekarang adalah fokus mencari wang bagi membesarkan anak.


SELEPAS Amelina menyepi, irama dangdut yang diperjuangkan penyanyi lain bagaikan bermusim dan tenggelam timbul. - Foto Munira Abdul Ghani

Amelina sudah tak fikir nak cari gelaran atau popular. Kalau untuk semua itu, beliau sudah buatnya sejak dulu lagi, bukan sekarang.

"Soal gelaran Ratu Dangdut yang pernah saya terima dulu pun hanya gelaran semata-mata. Kalau ada imbuhan untuk gelaran itu barang kali saya sanggup lakukan apa saja untuk mempertahankannya.

"Tapi macam saya cakap ia hanya gelaran dan kalau ada sesiapa yang mahukan, ambillah. Saya tak kisah," katanya.

Ditanya soal imej, Amelina kini selesa bergaya bersesuaian dengan usianya.

"Vogue juga sikit sikit. Paling penting kena sopan. Kalau dahulu saya hanya mengikut telunjuk sahaja nak pakai itu dan ini. Biasalah budak kampung yang hanya bekerja kilang dan tak tahu langsung perkembangan fesyen.

"Saya kini juga sudah mula mementingkan rawatan kecantikan dan kesihatan. Saya turut bergelar duta produk kecantikan. Saya juga mengambil jamu untuk kesihatan dalaman," katanya.


KEMBALI menyanyi untuk mencari rezeki, bukan untuk mencabar atau menggugat sesiapa. - Foto Munira Abdul Ghani

Pada minit akhir perbualan, Amelina turut ditanya mengenai masa bersama anak-anak.

Cuma saat ini persoalan mengenai rumah tangganya terus dikunci rapi. Umum tahu, rumah tangga yang dibina penyanyi dangdut itu terus menjadi tanda tanya dan rahsia.

Selepas berkahwin, Amelina terus hilang daripada pandangan dunia seni.

"Masa dengan anak tetap ada. Mereka sangat menyokong apa yang saya lakukan sekarang. Sekarang mereka kena biasakan saya tak ada di rumah sepanjang masa macam dulu. Jadi sedikit sebanyak bila jarang bersua, rindu mereka terhadap saya itu lebih sedikit," katanya.

Info Amelina:
* Album pertama berjudul Amelina dipasarkan pada 1994
* Lagu "Rindu" muncul hits pada tahun berkenaan
* Pernah berduet dengan Iwan dan Datuk Jamal Abdillah
* Amelina turut muncul dengan album kedua, Asyik dan Cinta Oh Cinta selain terbabit dengan album projek khas dan kolaborasi
* Pernah dilihat bertudung selepas berkahwin tetapi akhirnya kembali dengan imej tanpa bertudung.

195 dibaca
Berita Harian X