Ahad, 19 April 2015 | 9:31pm

Maybank sasar jualan RM100j ASB pada MSAM 2015

SIBU: Malayan Banking Bhd (Maybank) menyasar jualan unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan naik 20 peratus kepada RM100 juta pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 yang berlangsung selama sembilan hari di sini, daripada RM86 juta di Kota Bharu, tahun lalu.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Maybank Hamirullah Boorhan berkata selain menyediakan kemudahan kepada orang awam untuk melabur atau membuka akaun ASB, Maybank turut menyasar untuk menjual 2,000 kad kredit dan debit, dan 2,000 polisi insurans pada acara itu.

Beliau berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan jumlah pengunjung yang singgah di gerai Maybank untuk membuat pertanyaan, terutama mengenai ASB sejak pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita di MSAM 2015, beliau berkata bank itu turut mempromosikan inovasi perbankan, terutama perbankan internet dan aplikasi mudah alih.

"Kami memperkenalkan dua aplikasi mudah alih kepada pengunjung iaitu "Maybank Property Finder" untuk membantu carian jualan hartanah dan "Maybank Treats" pula bagi menyediakan maklumat mengenai promosi jualan," katanya.

MSAM 2015 yang bertema "Pelaburan 360 PNB" adalah anjuran Permodalan Malaysia Bhd (PNB) berlangsung dari 19 hingga 27 April dan akan dilancarkan esok oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hamirullah berkata Maybank juga memperluaskan pembiayaan sewa-beli kenderaan kepada rakan perniagaan PNB seperti UMW dan Perodua.

Pelbagai aktiviti pembelajaran dan interaktif dijalankan sepanjang acara itu bagi menyediakan pengunjung dengan perspektif lebih baik mengenai unit amanah selain daripada pameran oleh 40 pempamer.

Maybank adalah antara rakan premier MSAM 2015 bersama-sama dengan UMW Holdings Bhd, Sime Darby Bhd, SP Setia Bhd, dan I&P Group Sdn Bhd. - BERNAMA

Berita Harian X