Khamis, 16 April 2015 | 1:55pm

Kanak-kanak terperangkap hampir setengah jam dalam kereta

ALOR SETAR: Seorang ibu mengharungi detik cemas selepas anak perempuannya yang berusia tiga tahun terperangkap dalam kereta hampir setengah jam di Sungai Limau Luar, Yan pagi tadi.

Dalam kejadian 9.20 pagi itu, kanak-kanak terbabit, Saerah Umairah Mohd Sufian, tertekan kunci keselamatan pintu ketika ibunya sedang membasuh kereta itu di hadapan rumah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penguasa Bomba Kanan II P Manimaran, berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.25 pagi dan tiba di tempat kejadian pada 9.38 pagi.

"Ketika sampai, didapati kanak-kanak berkenaan sedang menangis di dalam kereta yang kuncinya masih dalam kereta. Dia dikatakan masuk ke dalam kereta itu tanpa pengetahuan ibunya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya mengambil masa 11 minit untuk mengeluarkan kanak-kanak berkenaan.

- BERNAMA

Berita Harian X