Rabu, 15 April 2015 | 9:42am

Pertahanan Atletico antara terbaik dunia - Ancelotti


Carlo Ancelotti

MADRID: Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti melabel Atletico Madrid sebagai memiliki antara pertahanan terbaik dunia selepas juara Eropah itu diikat tanpa jaringan di suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Real menampilkan dominasi penuh sepanjang babak pertama pada aksi di Vicente Calderon itu dengan menghasilkan beberapa percubaan berbahaya namun semuanya gagal menerjah gawang Atletico.

Juara Sepanyol, Atletico bangkit pada babak kedua dan sekalipun kedua-dua pasukan memperoleh percubaan terbaik menjaringkan gol, keputusan di wisel penamat berakhir seperti final Liga Juara-Juara musim lepas iaitu 0-0.

"Paling penting ialah pada separuh masa pertama kami layak mendapat keputusan lebih baik daripada 0-0 namun itulah yang berlaku," kata pengurus kelahiran Itali itu.

"Permainan pada babak pertama menakjubkan dan kami bermain dengan personaliti yang hebat. Kami melakukan beberapa usaha yang hebat di bahagian serangan dengan beberapa gerakan menarik namun kemudian tidak menyempurnakan gerakan itu sebaik mungkin.

"Babak kedua berbeza dengan Atletico lebih banyak menyerang dan kami dapat rasakan sukar untuk mengawal gerakan.

"Keputusannya tidak begitu baik namun kami berkeyakinan kerana corak permainan yang ditampilkan pada babak pertama dan akan bermain di laman sendiri selepas ini. Apa yang kami perlu lakukan ialah cuba mengulangi permainan pada 45 minit pertama untuk 90 minit keseluruhan perlawanan," katanya.

Sementara itu, jurulatih Atletico, Diego Simeone, berkata peluang masih 'amat terbuka' dan memuji persembahan pemainnya yang bangkit selepas mengharungi aksi hambar babak pertama.

"Kami memiliki kumpulan pemain yang amat bijak dan tahu bagaimana untuk berinteraksi apabila perkara tidak memihak kami pada babak pertama.

"Mereka (Real) akan bermain pada timbal balik di depan penyokong mereka sendiri dan mereka akan berusaha sebaik mungkin jadi ia terpulang kepada kami sendiri untuk mengawalnya," kata Simeone. - Reuters

Berita Harian X