Khamis, 14 Ogos 2014 | 10:17am

PAS lebih layak tentukan nasib MB Selangor

Kepemimpinan negeri turut bergantung keputusan sidang Dewan Diraja Selangor

Tindakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR memecat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kha-lid Ibrahim, kelmarin mencetuskan krisis kepemimpinan dalam kerajaan negeri yang memerlukan penyelesaian segera.

Walaupun Abdul Khalid masih menjadi Menteri Besar tanpa parti, sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diadakan dalam waktu terdekat bagi menentukan beliau mendapat sokongan majoriti daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk terus kekal menerajui Selangor atau sebaliknya.

Mesyuarat Dewan Diraja Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pagi ini, akan membuat keputusan berhubung kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar kerana pelantikan jawatan itu adalah di bawah kuasa Sultan.

Dinasihat tidak keluar kenyataan

Memberitahu pemberita selepas menghadiri majlis di Masjid Negeri Shah Alam bersama Sultan Selangor semalam, Abdul Khalid berkata, beliau akan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar seperti biasa dan dinasihati untuk tidak membuat sebarang kenyataan sehingga mesyuarat Dewan Diraja Selangor, pagi ini.

Dalam reaksi awal mengenai pemecatannya kelmarin, Abdul Khalid berkata, sehingga isu itu diselesaikan mengikut pro-sedur yang betul dan berdasarkan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri, beliau akan meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai Menteri Besar mengikut kemampuannya.

Walaupun menerima keputusan PKR memecatnya, Abdul Khalid mendakwa tindakan itu salah dan cacat dari segi undang-undang. Malah, beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap PKR.

Alasan utama Majlis Pimpinan Pusat PKR memecatnya kelmarin ialah Abdul Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Perkembangan terbaharu ini juga mengundang pertanyaan terhadap masa depan pakatan pembangkang berikutan DAP dan PAS mempunyai pendirian berbeza terhadap hasrat PKR untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Sementara DAP, yang mempunyai 15 kerusi di DUN menyokong tindakan PKR itu, PAS dengan jumlah kerusi serupa, setakat ini kekal dengan pendirian mahu Abdul Khalid terus menerajui Kerajaan Selangor.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, kelmarin berkata, Majlis Syura parti itu tidak berganjak dengan keputusannya untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS tunda mesyuarat

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS bagi membincangkan isu ini yang dijadualkan semalam, ditunda 17 Ogos.

Perkembangan sehari dua nanti bakal menentukan bagaimana berakhirnya krisis politik Selangor angkara PKR ini, terutama selepas Dewan Diraja Selangor bersidang pagi ini.

Pada masa yang sama, peranan PAS amat penting dalam penyelesaian isu ini jika parti berkenaan enggan tunduk kepada agenda PKR dan DAP dalam menentukan masa depan Selangor.

Hasrat PAS untuk terus mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar hanya tercapai jika semua ADUNnya dan 12 ADUN UMNO menentang usul tidak percaya yang mungkin dibawa oleh PKR atau DAP jika sidang tergempar DUN diadakan.

PKR yang kini tinggal 13 kerusi tidak mungkin dapat meneruskan hasratnya tanpa sokongan ADUN daripada dua sekutunya itu. Malah jika dilihat daripada jumlah kerusi, PAS dan DAP lebih layak untuk menentukan kepemimpinan kerajaan negeri.

Satu lagi senario ialah DUN Selangor dibubar bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat dengan memilih siapakah yang harus memerintah Selangor. Hanya Sultan boleh membubarkan DUN atas nasihat Menteri Besar.

Berita Harian X