Rabu, 15 April 2015 | 12:09am

Kota purba di bawah padang pasir


Kota purba Arab

SEKITAR tahun 1990, akhbar melaporkan penemuan sebuah kota purba Arab yang tertimbus di bawah timbunan pasir gurun dipercayai sejak ribuan tahun lalu.

Dengan tajuk Legenda Bandar Arab Ditemui Penemuan Legenda Arab Yang Hilang dan Atlantis Padang Pasir, Uber, berita itu menjadi topik perbincangan hangat, lantaran ia mengesahkan mitos dipercayai masyarakat Arab selama ini.

Lebih penting, pendedahan itu menjadi antara penemuan terbesar dalam sejarah manusia kerana misteri yang menjadi tunjang kehilangan kota purba itu dipercayai sudah diceritakan dalam al-Quran.

Ditemui ahli arkeologi

Kota purba itu ditemui ahli arkeologi, Nicholas Clapp di selatan Semenanjung Arab iaitu di padang pasir berhampiran pantai Oman.

Rentetan penemuan kota purba yang dikenali sebagai Uber, Wabar atau Iram itu bermula apabila Clapp menemui buku Arabia Felix ditulis penyelidik Inggeris, Bertram Thomas pada tahun 1932.

Dalam bukunya, Thomas menyatakan ketika beliau mengembara merentasi padang pasir, orang Badwi yang menemaninya menunjukkan laluan usang menuju kota purba misteri yang masyhur pada zaman dulu.

Thomas diberitahu bahawa penduduk kota itu amat kaya kerana mendiami laluan perdagangan rempah antara India dan Semenanjung Arab. Kawasan mereka juga dipenuhi pohon dupa yang sama nilainya seperti emas pada zaman dulu.

Kemewahan dikecapi penduduk itu bagaimanapun menyebabkan mereka melanggar perintah Tuhan sehingga ditimpa petaka dahsyat yang menatijahkan kota itu hilang terus daripada muka bumi.

Cerita kota purba itu amat terkenal dalam kalangan masyarakat Arab tetapi selama ratusan tahun, cerita itu hanya sekadar mitos lantaran lokasi sebenar bandar itu tidak pernah ditemui.

Thomas berusaha menjejaki kota purba itu berdasarkan laluan ditunjukkan kepadanya tetapi gagal menemui kesan peninggalan bandar itu.


Kota purba Arab

Buku jadi panduan

Bagaimanapun, pengalaman itu direkodkan dalam bukunya, Arabia Felix yang kemudian menjadi panduan kepada Clapp untuk melakukan kajian lanjutan sehingga menjumpai kota purba itu.

Clapp memperoleh gambar satelit kawasan gurun daripada NASA selain mengkaji peta kuno dilakar pada tahun 200 oleh Claudius Ptolemy.

Menerusi gambar satelit dan peta kuno, Clapp mendapati wujud laluan lama kabilah menuju ke suatu lokasi yang dipercayainya sebagai kota purba berkenaan.

Dengan keyakinan itu, Clapp bersama pasukannya melakukan kerja cari gali di lokasi itu dan selepas beberapa meter menggali, mereka menemui kota purba yang hilang sejak ribuan tahun lalu.

Penemuan itu turut menimbulkan persoalan mengenai bagaimana kota sebesar itu boleh tertimbus di bawah pasir gurun.

Kajian mendapati kawasan berkenaan pada zaman silam adalah tanah pertanian subur sehingga didirikan kota indah buat puluhan ribu penduduk. Semua keindahan dan kemakmuran bandar itu bagaimanapun akhirnya lenyap ditimbus pasir.

Ribut pasir

Berhubung persoalan itu, penyelidik mengandaikan pernah berlaku ribut pasir amat dahsyat di lokasi terbabit sehingga menyebabkan bertan-tan pasir menimbus keseluruhan kota bersama penduduknya.

Majalah Perancis iaitu Ca M'Interesse yang diterbitkan pada Januari 1993 menyatakan Uber ditimbus pasir sedalam 12 meter selepas berlakunya ribut.

Punca berlakunya ribut dahsyat itu terus dikaji tetapi bagi masyarakat Badwi di kawasan itu serta ramai umat Islam, mereka yakin misteri menyelubungi kota purba itu serta penduduknya sehingga diazab sedemikian rupa sudah dinyatakan dalam al-Quran.


Kota purba Arab

Dinyatakan al-Quran

Kerja cari gali mendapati banyak ciri kota purba itu menyamai bandar dinyatakan dalam al-Quran iaitu wujud banyak tiang dan bangunan tinggi, adanya sistem tali air dan empangan malah berlaku malapetaka ribut pasir di kawasan itu.

Persamaan antara penemuan arkeologi dengan firman Allah SWT dalam al-Quran meyakinkan ramai umat Islam bahawa kota purba itu didiami kaum Nabi Hud iaitu kaum `Aad yang dimusnahkan Allah SWT seperti tertera dalam al-Quran yang bermaksud:

"(Kami tetap akan membinasakan orang yang menentangmu (wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka) iaitu penduduk `Iram' yang mempunyai bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?" (Surah al-Fajr: ayat 6 hingga 8).

Dalam surah al-Haqqah, ayat keenam dan ketujuh pula, Allah berfirman: "Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus, (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang."

Lantaran mengabaikan dakwah Nabi Hud supaya mengesakan Allah SWT, maka kaum 'Aad dimusnahkan sehingga kewujudan mereka tidak lagi diketahui selama ribuan tahun.

122 dibaca
Berita Harian X