Rabu, 15 April 2015 | 12:06am
GOLONGAN wanita menyertai perarakan sempena Pesta Persukuan Adat Perpatih 2014 di Muzium Diraja Seri Menanti. - Foto Rasul Azli Samad
DUA wanita sedang membuat simpulan Panta Berkucung. - Foto Rasul Azli Samad
PERSEMBAHAN teromba dari Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin pada Malam Puisi Riong di Kompleks Belia dan Sukan Jempol, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
ACARA adat persukuan oleh Luak Johol. - Foto Hazreen Mohamad

Salah faham terhadap Adat Perpatih


ACARA adat persukuan oleh Luak Johol menjulang dulang simbolik memperkenalkan adat Luak Johol. - Foto Hazreen Mohamad

TERLALU banyak mitos dan salah faham menyelubungi Adat Perpatih hingga menenggelamkan fakta sebenar mengenai adat yang diamalkan di Negeri Sembilan itu.

Kegusaran paling tinggi ialah soal pemilikan dan pewarisan harta sehingga ramai yang membuat tanggapan lelaki yang berkahwin dengan wanita yang keluarganya dari Negeri Sembilan bererti menyerahkan semua harta kepada isteri secara bulat-bulat.

Bagaimanapun, pengarang sastera dan bekas peguam kelahiran Negeri Sembilan, Nisah Haron menyifatkan cerita negatif sebegitu lebih banyak ditokok tambah termasuk dengan menganggap harta akan menjadi milik perempuan dan keluarganya secara automatik jika berlaku perceraian.

Keadaan begini, tegasnya, menyebabkan pengamalan Adat Perpatih dikecam oleh masyarakat yang berasal dari luar negeri berkenaan.


PANTA Berkucung dari Luak Ulu Muar. - Foto Amran Yahya

Saudara lelaki merempat

"Antara salah faham yang lain ialah Adat Perpatih dianggap mengutamakan kaum wanita sehingga saudara lelaki merempat kerana tidak layak mewarisi harta keluarga.

"Ada juga yang mempercayai Adat Perpatih menyalahi syarak kerana ikut kaedah fiqah yang berkaitan pewarisan harta pusaka yang sepatutnya dilebihkan kepada waris lelaki berbanding waris perempuan dengan nisbah 2:1," katanya.

Salah faham yang lain termasuklah lelaki Negeri Sembilan dayus kerana membenarkan hal itu berlaku, manakala wanita negeri itu bersifat 'queen control' kerana berkuasa dalam kawasan harta pusakanya hingga boleh berbuat apa saja terhadap harta itu.

Bertujuan memperbetulkan salah faham itu, Nisah menghasilkan karya kreatif yang mengangkat Adat Perpatih sepanjang pembabitannya dalam dunia penulisan.


PENGARANG sastera dan bekas peguam kelahiran Negeri Sembilan, Nisah Haron. - Foto Hazreen Mohamad

Karya sastera bercerita Adat Perpatih

"Banyak daripada cerpen yang dihasilkan bernuansa undang-undang dengan sebahagiannya bercerita tentang Adat Perpatih itu sendiri.

"Semua usaha itu dibuat dengan sedar berdasarkan kedudukan saya sebagai bekas peguam dan berada dalam kelompok masyarakat Adat Perpatih," katanya.

Antara cerpen yang dihasilkannya ialah Aset Istiqamah yang tersiar di Dewan Sastera (DS) pada 2009 yang turut memenangi Hadiah Sastera Berunsurkan Islam 2005 yang merungkai undang-undang tanah adat di Negeri Sembilan dan Pusaka Cendana mengenai wasiat seni bongai dan undang-undang wasiat.

Beliau turut menghasilkan novel yang memperjuangkan Adat Perpatih, iaitu Mencari Locus Standi.

Nisah mengingatkan konsep yang diamalkan dalam wilayah Adat Perpatih sebenarnya mengutamakan rundingan dan muafakat.


PENGARAH Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin. - Foto Rasul Azli Samad

Beza tanah pusaka adat

"Salah faham yang timbul dalam kalangan orang awam tentang tanah adat hatta oleh sesetengah sarjana sendiri berpunca kerana tidak memahami perbezaan antara tanah pusaka adat dengan tanah pusaka biasa.

"Sebenarnya, hanya tanah pusaka adat yang dimiliki oleh sesuatu suku saja diwakili oleh waris wanita dan bukannya seluruh hartanya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, berkata seni teromba menjadi antara aspek yang membezakan Adat Perpatih dengan adat Melayu yang lain.

"Dalam masyarakat Adat Perpatih, teromba diguna pakai sebelum menjalankan sebarang aktiviti kemasyarakatan baik sosial, politik mahupun ekonomi termasuklah pentadbiran negeri, suku, perundangan, kehakiman dan upacara istiadat.

"Dalam permuafakatan ini, pernyataan, penerangan dan penghujahan dilafazkan, dibuktikan serta disokong oleh teromba," katanya.


PANTA Berkucung sedia untuk berarak sempena Pesta Persukuan Adat Perpatih 2014 di Muzium Diraja Seri Menanti, baru-baru ini. - Foto Amran Yahya

Disampaikan secara lisan

Beliau berkata, teromba lazimnya tidak bertulis, sebaliknya ia bersifat lisan dan diperturunkan dari satu keturunan kepada satu keturunan yang lain atau satu generasi ke satu generasi, sekali gus menjadikan daya ingatan memainkan peranan penting.

Tambah beliau, walaupun kebanyakan teromba tidak bertulis, ada juga berjaya didokumentasikan seperti Kumpulan Hukum Adat dari Sungai Ujong, Kumpulan Undang-Undang Minangkabau, Perak dan Kuala Pilah.

"Tema dan isi teromba banyak memberikan gambaran tentang pegangan, tingkah laku dan peraturan yang mesti dipatuhi.

"Ia turut menerapkan nilai bermasyarakat dan hidup bersatu-padu, di samping memberi bayangan tentang kepercayaan, pegangan serta pandangan hidup dan pandangan alam masyarakatnya.

"Semua aspek masyarakat Adat Perpatih baik sejarah termasuk mitos dan legenda, sosial, ekonomi, politik, kepercayaan, undang-undang ataupun perlembagaan negeri terakam dalam teromba," katanya.

Berita Harian X