Rabu, 15 April 2015 | 12:02am

753 kes tuntut ganti rugi daripada pusat kecantikan


TRIBUNAL Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) merekodkan sebanyak 753 kes tuntutan berkaitan perkhidmatan rawatan di pusat kecantikan dengan nilai mencecah RM4.9 juta, di antara tahun 2012 hingga tahun lalu.

Berdasarkan rekod itu, rawatan muka, pakej pelangsingan badan dan rawatan rambut adalah bentuk aduan paling kerap dituntut pengguna.

Pengerusinya, Reihana Abdul Razak, berkata Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor dan Pulau Pinang mencatatkan bilangan tuntutan tertinggi bagi kes berkaitan perkhidmatan rawatan di pusat kecantikan.

Setakat Januari tahun ini sahaja, katanya, sebanyak 19 kes tuntutan dikemukakan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM92,664.

"Mengambil contoh kes tuntutan di Kuala Lumpur sahaja, sebanyak sembilan kes tuntutan dikemukakan setakat Januari lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM27,024," katanya yang ditemui BH, di ibu pejabat TTPM, di sini.


PENGERUSI Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Reihana Abdul Razak.

Reihana berkata, pengguna di negara ini masih mudah terpedaya dengan taktik promosi yang diiklankan oleh pusat kecantikan sebelum akhirnya terjebak mengambil beberapa lagi pakej berharga ribuan ringgit.

Katanya, taktik penuh licik pusat kecantikan, termasuk mengiklankan harga promosi termurah boleh mendorong pengguna untuk segera mendapatkan rawatan kecantikan pada harga yang ditawarkan.

"Memang diakui pengguna kita sangat terdedah dengan taktik promosi pusat kecantikan yang diiklan secara meluas sama ada bagi rawatan muka, pelangsingan badan mahupun rawatan rambut.

"Sebagai contoh, andai promosi rawatan kecantikan kali pertama ditawarkan pada harga RM25, pengguna patut menuntut hak mereka untuk nilai promosi ditawarkan tanpa terpedaya dengan pakej rawatan lain sebagai syarat mendapatkan promosi murah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 112 Akta Perlindungan Pengguna 1999, TTPM diberi kuasa untuk menghalang dan menghapuskan terma yang tidak adil oleh pembekal perkhidmatan, sekali gus memberi lebih banyak hak kepada pengguna.

Bagaimanapun, beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak mengambil kesempatan, termasuk menyalahgunakan TTPM sebagai tempat untuk menuntut ganti rugi melebihi perkhidmatan yang diterima.

"Perlu diingat, TTPM hanya melayan tuntutan berdasarkan jenis perkhidmatan yang diterima pelanggan, tanpa sebarang tuntutan lain seperti ganti rugi teladan dan pampasan lain yang dikemukakan pengguna.

"Berpandukan indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kami, setiap tuntutan akan didengar dalam tempoh 40 hari aduan dikemukakan sebelum Mahkamah TTPM menentukan bentuk tuntutan dapat diselesaikan," katanya.

Ditanya apakah TTPM sedia menerima tuntutan berkaitan kes pembedahan plastik, Reihana berkata, perkara itu di luar bidang kuasa TTPM.


PROSEDUR popular rawatan pembedahan plastik.

"Kami menyarankan pengguna supaya merujuk kes sebegini di Mahkamah Sivil untuk tindakan susulan. Mereka juga boleh mengemukakan aduan kepada Kementerian Kesihatan atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika ada kemusykilan berhubung kaedah rawatan yang diterima," katanya.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) yang diwartakan sebelum ini dikuatkuasakan segera bagi membendung pembedahan plastik secara haram.

Selain itu, akta berkenaan penting untuk membanteras penggunaan alat perubatan seperti jarum suntikan dan mesin rawatan laser, yang kini didapati digunakan secara meluas di pusat kecantikan oleh mereka yang tidak bertauliah.

Presidennya, Dr H Krishnakumar, mengakui ada kelemahan yang perlu diperbaiki terutama membabitkan pengendalian alatan perubatan oleh pusat kecantikan tidak bertauliah, yang didakwa sewenang-wenangnya menawarkan perkhidmatan perubatan, termasuk pembedahan plastik.

Beliau yakin akta baharu itu dapat memberi lebih kuasa dari segi penguatkuasaan terutama dalam membanteras kewujudan premis yang didapati menawarkan perkhidmatan pembedahan plastik secara haram.

"Kami menerima aduan pelanggan yang tidak berpuas hati sebaik mendapatkan rawatan kecantikan di pusat kecantikan tidak bertauliah. Kelemahan dari segi undang-undang menyebabkan pusat kecantikan tidak bertauliah turut menawarkan rawatan menggunakan sumber perubatan yang sepatutnya tidak boleh digunakan mereka," katanya.

Dr Krishnakumar berkata, MMA tidak ada kuasa bagi melindungi pelanggan yang mendakwa tertipu ekoran mendapatkan rawatan kecantikan di pusat kecantikan tidak bertauliah.

Katanya, setiap kali berdepan aduan berkenaan, pihaknya akan merujuk bentuk aduan sebelum mengemukakannya kepada Kementerian Kesihatan.

39 dibaca
Berita Harian X