Selasa, 14 April 2015 | 12:09am

Pusat kecantikan tak boleh suntik Vitamin C, serum


KUALA LUMPUR: Suntikan bagi memasukkan bahan rangsangan kecantikan seperti Vitamin C dan serum, adalah antara permintaan popular pengguna di pusat kecantikan di sekitar ibu negara.

Meskipun jarum suntikan adalah alat yang hanya boleh dikendalikan oleh doktor bertauliah, perkhidmatan itu turut ditawarkan di pusat berkenaan dan dilakukan oleh perunding kecantikan.

Selain itu, penggunaan mesin laser untuk merawat masalah kulit juga ditawarkan pada harga pakej antara RM2,500 ke atas dan semuanya sekadar dikendalikan oleh pekerja pusat kecantikan dalam bilik rawatan mereka.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr H Krishnakumar, menegaskan alat perubatan seperti jarum suntikan serta mesin rawatan laser hanya boleh dikendalikan oleh doktor dan menjadi satu kesalahan jika digunakan di pusat kecantikan.

Tinjauan wartawan BH di beberapa lokasi di sekitar Kepong dan Selayang, mendapati dua pusat kecantikan menawarkan rawatan menggunakan mesin laser dan suntikan, namun cubaan wartawan untuk mendapatkan maklumat lebih jelas gagal kerana mereka seakan-akan risau untuk membenarkan kami memasuki premis itu.


GARIS panduan perlu diwujudkan bagi mengekang pusat kecantikan daripada sewenang-wenangnya menawarkan perkhidmatan. - Foto Azrul Affandy Sobri

Pekerja di hampir semua pusat kecantikan di situ dilihat mencurigakan kerana seboleh mungkin berdalih untuk tidak membenarkan kami masuk dan sekadar berkongsi maklumat perniagaan mereka dari celah pintu kedai.

"Sini tidak ada doktor. Hari ini tutup, tidak ada rawatan. Kamu boleh datang lain kali.

"Kami tidak buat rawatan laser, hanya ada rawatan muka guna produk kami sendiri. Tapi hanya untuk wanita dan jika lelaki mahu rawat, perlu bawa pasangan. Nak lagi bagus, kami ada suntik Vitamin C dan serum".

Itu dua petikan dialog daripada kakitangan dua pusat kecantikan berbeza, yang nyata cukup berhati-hati untuk membenarkan kami memasuki premis mereka walaupun pelbagai alasan diberikan, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada mereka bertauliah dalam menggunakan jarum suntikan atau mesin rawatan laser.

BH semalam melaporkan majoriti pusat kecantikan berani menggunakan alat perubatan yang sepatutnya hanya boleh dikendalikan oleh doktor berikutan tiada penguatkuasaan terhadap Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Malah, Setiausaha Akademi Dermatologi dan Venerologi Asia, Dr Steven K W Chow, berkata terlalu banyak pusat kecantikan tidak peduli dengan larangan penggunaan peranti perubatan seperti mesin rawatan laser, sekali gus mengundang bahaya kepada pelanggan.


BANYAK pusat kecantikan tidak mempedulikan larangan penggunaan peranti perubatan yang boleh mengundang bahaya. - Foto Azrul Affandy Sobri

Tinjauan di sekitar sebuah taman perumahan di Cheras, pula mendapati sebuah pusat kecantikan menawarkan rawatan laser dengan pakej RM2,800 untuk lima kali rawatan, selain menawarkan produk suntikan Vitamin C.

Kali ini, kami yang menyamar sebagai pelanggan berjaya meminta pekerja untuk menunjukkan bilik rawatan dengan menggunakan alasan mahu meyakinkan isteri mengenai kemudahan yang disediakan dan jelas satu mesin rawatan laser disimpan di bilik belakang.

"Pakai laser memang sakit tapi hasilnya dijamin. Ramai sudah buat dan masalah kulit mereka selesai. Tak payah jumpa doktor sebab di sini pun boleh buat semua itu," kata pekerja pusat kecantikan itu.

Di Cheras, tiga daripada tujuh pusat kecantikan yang ditinjau menunjukkan secara terang-terangan mereka menawarkan perkhidmatan rawatan laser oleh perunding rawatan kecantikan.

Malah, seorang perunding rawatan kecantikan di sebuah kedai turut menawarkan janji manis rawatan laser dengan pakej promosi.

"Tidak perlu bimbang, saya berpengalaman tujuh tahun dalam bidang ini. Semua kedai pun mana ada doktor, semua `beautician' yang buat," dakwanya.

Pakar Perunding Pembedahan Plastik Surgeri, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr S Somasundaram, berkata garis panduan khusus perlu diwujudkan bagi mengekang pusat kecantikan di negara ini daripada sewenang-wenangnya menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk berkaitan surgeri yang sepatutnya hanya dilakukan oleh pakar pembedahan plastik.


ANTARA peranti perubatan yang digunakan di pusat kecantikan. - Foto Azrul Affandy Sobri

Katanya, ketiadaan garis panduan yang khusus menyebabkan ada pusat kecantikan mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan yang tidak sepatutnya dilakukan mereka seperti suntikan kolagen, pembesaran payu dara dan menyedut lemak pada badan.

"Masyarakat pula seolah-olah berasakan apa sahaja berkaitan kolagen adalah baik dan membantu menambah kecantikan. Mereka langsung tidak peduli siapa yang memberikan perkhidmatan itu sehingga ia boleh mengundang bahaya.

"Masalah inilah akan berlaku apabila pusat kecantikan mengambil peranan pakar pembedahan plastik dengan alasan mereka sudah mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan," katanya yang ditemui BH Plus di kliniknya Soma Plastik Surgery, Subang Jaya, di sini.

Dr Somasundaram berkata, faktor harga yang lebih murah ditawarkan pusat kecantikan serta pihak tidak bertauliah menyebabkan masyarakat cenderung mendapatkan rawatan kosmetik sehingga akhirnya mengakibatkan pelbagai risiko parut pada wajah serta anggota badan, malah lebih membimbangkan, mengundang kematian.

Beliau mengakui sering menerima pelanggan yang ingin membetulkan semula operasi pembedahan plastik yang gagal dilakukan oleh pihak tidak bertauliah, sekali gus menyebabkan kos pembedahan meningkat.

IKUTI PANDANGAN PRESIDEN PERSATUAN PERUBATAN MALAYSIA (MMA), DR H KRISHNAKUMAR MENGENAI ISU INI MENERUSI SIRI KETIGA DALAM BH, ESOK.

83 dibaca
Berita Harian X