Selasa, 14 April 2015 | 12:07am

Bahaya e-rokok


KAJIAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati perisa e-rokok boleh menjejaskan kesihatan.

SUDAH bertahun isu penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dibincangkan, daripada kesan buruk hinggalah kandungan yang memudaratkan kesihatan, namun e-rokok masih tetap menjadi pilihan perokok muda malah semakin digilai ramai.

E-rokok yang pertama kali diperkenalkan di China pada Mei 2004 ini secara langsung memberi kesan sampingan seperti penyakit berbahaya walaupun ada dakwaan mengatakan ia mampu menghentikan tabiat merokok.

Kajian terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati peranti Sistem Elektronik Penyalur Nikotin (ENDS) yang menggunakan bateri untuk menghasilkan wap cecair pelbagai perisa e-rokok boleh menjejaskan kesihatan penghisapnya terutama bahagian paru-paru.

Bukan itu saja, kajian terbaharu turut melaporkan bahawa rokok elektronik mengeluarkan pelbagai toksik kimia termasuk karsinogen yang boleh merosakkan paru-paru berbanding rokok biasa.

Difahamkan, apabila terlalu banyak yang dihisap, ia boleh membawa kepada keracunan nikotin yang menyebabkan muntah, rasa mual dan pening.


ANTARA jenis-jenis e-rokok

Brazil, Norway haramkan e-rokok

Negara seperti Brazil, Norway, Colombia, Panama, Singapura dan Uruguay sudah lama mengharamkan rokok ini, manakala Perancis bercadang mengharamkan penggunaan e-rokok di tempat awam.

Di Malaysia, jawatankuasa khas bagi mengkaji keperluan mengawal penjualan e-rokok dan shisha atau mengharamkannya dilaporkan sudah menyiapkan draf akta khusus bagi kawalan tembakau.

Namun, sehingga kini masih tiada had umur digariskan bagi penjualan e-rokok berbanding rokok biasa di negara ini, sekali gus membolehkan kanak-kanak dan remaja membelinya pada bila-bila masa.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kementerian akan mengkaji cadangan pengawalan penjualan e-rokok kepada kumpulan sasar remaja bawah umur dengan lebih terperinci setelah mengambil kira kesan kesihatan penggunaannya kepada masyarakat.

"Kami memandang serius terhadap isu yang dihadapi berkaitan penjualan e-rokok terutama dalam kalangan remaja bawah umur. Pada masa yang sama kami turut mengkaji dengan lebih lanjut tindakan kawalan lain untuk mengatasi masalah kesan negatif penggunaan e-rokok.

"Pertimbang ini selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini yang menyatakan bahawa kesan kesihatan jangka masa panjang akibat menghisap wap e-rokok masih belum dikenal pasti.

"Tambahan pula e-rokok perlu dikawal kerana ia adalah cara baharu yang berpotensi menyebabkan ketagihan nikotin kepada mereka yang tidak pernah merokok sebelum ini," katanya ketika dihubungi BH.


INFOGRAFIK jantung

Pandang remeh kesan negatif

Meskipun pelbagai kajian membuktikan bahaya penggunaan e-rokok, penyelidik dari University College London (UCL) baru-baru ini mendedahkan e-rokok dapat menyelamatkan nyawa perokok sekiranya ia digunakan sebagai alternatif mengurangkan ketagihan rokok tembakau.

Menurut laporan itu, sebanyak 54,000 daripada 9 juta nyawa perokok konvensional di United Kingdom (UK) dapat diselamatkan dengan penggunaan e-rokok.

Bagaimanapun, kajian itu tidak menyangkal bahawa e-rokok mengandungi bahan terlarang yang boleh menjejaskan kesihatan perokok konvensional.

Seperti e-rokok, sikap masyarakat memandang remeh kemudaratan penggunaan shisha terhadap kesihatan menyebabkan kegiatan menghisap bahan itu secara terbuka terus berleluasa di negara ini.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengharamkan penggunaannya sejak 17 Julai tahun lalu, selepas meneliti bukti saintifik dan laporan perubatan bahawa penggunaan shisha memudaratkan kesihatan manusia.


INFOGRAFIK e-rokok

Info:

E-ROKOK

E-rokok mempunyai bateri, atomizer, dan katrij nikotin. Cip elektronik akan mengesan pergerakan udara di dalamnya apabila pengguna menyedut rokok itu. Nikotin cair dan udara kemudian akan dicampurkan menerusi atomizer yang dihidupkan oleh pemproses mikro.

Proses ini akan menghasilkan wap yang kelihatan sama dengan asap rokok biasa. Ia tidak mengandungi karbon monoksida dan tidak berbau. E-rokok juga dilengkapi LED yang berwarna oren jika dinyalakan oleh mikroprosesor, yang kelihatan seperti rokok terbakar ketika dihisap. Bauan yang dipenuhi nikotin itu memberikan rasa dan pengalaman merokok tanpa asap.

Nikotin

Meningkatkan kadar denyutan nadi, pembebasan hormon adrenalin, melambatkan sistem saraf, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar, ulser perut dan usus. Nikotin mempunyai pelbagai pelarut seperti propilenglikol, dietilenglikol, dangliserin yang menghasilkan nitrosamine apabila dipanaskan. Larutan nitrosamine ini akan menjadi faktor terhasilnya kanser.

Atomizer

Apabila bateri menghidupkan atomizer, ia akan memanaskan cecair dan seterusnya menghasilkan wap.

Bateri Litium Ion

Boleh mengakibatkan letupan jika berlaku kerosakan pada bahagian bateri. Di Florida, Amerika, seorang lelaki hilang beberapa batang gigi selain cedera lidah dan wajahnya lecur teruk apabila e-rokok yang dihisap meletup dalam mulutnya akibat kerosakan bateri.

Lampu LED

Menghasilkan nyalaan berwarna oren apabila rokok sedang dihisap.

Pemproses mikro

Mengawal lampu LED

Perundangan

- Menurut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 penjualan bahan dan produk itu adalah salah. Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikoton untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh DIDENDA TIDAK LEBIH RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.

Jenis E-ROKOK

- E-Health

- Joye 150

- Ego-T, EGO, VGO, KGO, T-Rex

- E-Power


INFOGRAFIK shisha

Sejarah Shisha

- Diamalkan penduduk di utara India, kemudian berkembang ke Iran, Turki, Iraq dan Mesir sejak lebih 500 tahun lalu.

- Popular pada 1980-an apabila seorang pedagang Mesir menambah cita rasa keenakan tembakau dengan sari buah-buahan.

- WHO mendapati jumlah asap shisha disedut dalam tempoh sejam dianggarkan bersamaan menghisap antara 100 hingga 200 batang rokok.

- Kajian yang dijalankan di Royal University Arab Saudi mendapati asap shisha adalah 30 kali lebih pekat dalam bahan kimia daripada asap rokok.

- Kajian pakar perubatan di negara ini juga menjelaskan, shisha tembakau yang dicampurkan dengan sirap pekat, perisa buah-buahan dan produk tembakau sama bahaya dengan rokok kerana mengandungi lebih 3,500 bahan kimia meliputi 200 toksik dan 43 adalah karsinogenik.

- Kajian Agensi Antitembakau Perancis (OFT) mendapati shisha menghasilkan jumlah karbon monoksida yang tinggi iaitu bersamaan dengan sekali hembusan 52 batang rokok. Berikutan itu, penghisap shisha akan terdedah pada jumlah bahan beracun yang tinggi seperti tar, nikotin, dan karbon monoksida berbanding asap rokok.

Bahaya Shisha

- Menggunakan arang yang memudaratkan kesihatan.

- Membebaskan karbon monoksida.

- Mendedahkan penggunanya kepada asap lebih banyak dalam masa lebih lama berbanding rokok.

- Mengandungi benzene dan benzo-pyrene iaitu penyebab kanser.

- Dikaitkan dengan pelbagai penyakit serius seperti jantung koronari, atherosclerosis, sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat.

- Boleh menyebabkan penyakit berjangkit seperti tibi, hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.

305 dibaca
Berita Harian X