Isnin, 13 April 2015 | 6:18pm
KETUA jurulatih Kelab Kitchee, Jose Molina (kanan) bersama kapten, Lo Kwan Yee pada sidang media perlawanan Piala AFC 2015 di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Piala AFC: JDT gelisah kelibat pemain tengah Kitchee

JOHOR BAHRU: Pergerakan Lam Ka Wai mengundang kebimbangan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang pertemuan dengan Kitchee Sports Club untuk perlawanan Kumpulan F, Piala AFC di Stadium Larkin, malam esok.

Kelebihan pemain tengah kelab Hong Kong itu bukan saja sebagai pencetus gol malah mampu membuka ruang yang luas untuk jentera serangan Kitchee memusnahkan impian JDT.

Sudah pasti gerakan tangkas pemain berjersi nombor 10 itu menjadi igauan ngeri buat benteng pertahanan JDT, demikian amaran ketua pasukan JDT, Safiq Rahim buah rakan sepasukannya.

"Selepas tewas 2-0 pada perlawanan pertama di Hong Kong, 17 Mac lalu, kami kini lebih berwaspada dan mempunyai motivasi yang tinggi untuk beraksi dengan cemerlang," katanya pada sidang media pra perlawanan, di sini, hari ini.

"Kami berjanji akan memberi 100 peratus komitmen dalam perlawanan esok agar tidak mengecewakan peminat," tambah Safiq.

Dalam pada itu, ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak, berkata beliau akan memantapkan barisan depan dengan menurunkan pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa.

"Saya pasti beliau akan membantu pasukan dalam memburu kejayaan ke atas Kitchee," kata Hodak.

Bagi ketua jurulatih Kitchee, Jose Francisco Molina pula, beliau belum pasti untuk mengekalkan senarai kesebelasan utama yang bermain pada perlawanan pertama.

"Saya hanya boleh memutuskan barisan kesebelasan utama esok. Buat masa ini, yang penting, kami hanya mahu kekal fokus dan tidak mahu melakukan sebarang kesilapan dalam perlawanan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X