Isnin, 13 April 2015 | 12:44am
DR Steven menunjukkan peralatan yang digunakan di Klinik Pakar Kulit Chow, Jalan Pudu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pusat kecantikan buat kerja doktor

DR Steven menunjukkan buku panduan penggunaan peranti perubatan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Majoriti pusat kecantikan berani menggunakan alat perubatan yang sepatutnya hanya boleh dikendalikan oleh doktor berikutan tiada penguatkuasaan terhadap Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Malah, menurut Setiausaha Akademi Dermatologi dan Venerologi Asia, Dr Steven K W Chow, terlalu banyak pusat kecantikan tidak peduli dengan larangan penggunaan peranti perubatan seperti mesin rawatan laser, sekali gus mengundang bahaya kepada pelanggan.

"Malaysia perlu mencontohi Singapura dalam hal ini. Di negara jiran itu, selain melesenkan premis perubatan, alat perubatan dan penggunanya juga dilesenkan di bawah Majlis Perubatan. Hanya yang memiliki kesemua tiga lesen ini boleh beroperasi dengan alat yang disenaraikan di bawah kawalan.

DR Steven memberi penerangan mengenai peralatan di Klinik Pakar Kulit Chow, Jalan Pudu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Masalahnya, di Malaysia, doktor dikawal dan dipantau di bawah Kementerian Kesihatan. Sebarang kesalahan mereka boleh dikenakan tindakan tetapi apa pula ceritanya dengan pusat kecantikan.

"Pusat kecantikan bukan dikendalikan oleh doktor dan tidak layak digelar klinik. Jadi, ia tidak diletak di bawah kawalan Kementerian Kesihatan tapi turut gunakan alat perubatan yang sepatutnya diletak di bawah Akta Peranti Perubatan. Dalam hal ini, siapa yang bertindak terhadap mereka," katanya kepada BH Plus.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta, berkata pusat kecantikan diletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang sekadar mengeluarkan garis panduan ringkas mengenai industri kecantikan.

Justeru, katanya, ia menyebabkan penguatkuasaan untuk penggunaan alat perubatan itu tidak selaras dan tidak mengikut apa yang digariskan dalam akta.

ANTARA peralatan yang digunakan di Klinik Pakar Kulit Chow, Jalan Pudu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Kelemahan inilah menyebabkan pusat kecantikan bebas menggunakan mesin laser. Tidak ada pihak boleh bertindak ke atas mereka. Tidak adil kerana doktor dan klinik dipantau dengan ketat sedangkan alat perubatan boleh bebas digunakan pihak lain.

"Kegiatan ini semakin berleluasa kerana ramai orang mahu khidmat yang murah. Memang diakui kos rawatan di pusat kecantikan lebih murah berbanding klinik tapi mereka bukan profesional dan tidak bertauliah," katanya sambil menunjukkan beberapa peralatan perubatan laser di kliniknya.

Chow berkata, dalam terma perubatan, penyakit kulit bukanlah membabitkan kes seperti kedutan dan menahan proses penuaan, justeru, orang ramai lebih suka memilih pusat kecantikan kerana mampu memenuhi apa saja kemahuan pelanggan meskipun ia berbahaya.

Katanya, sepatutnya semua pusat kecantikan diperiksa oleh Penguatkuasa Peranti Perubatan untuk mengesahkan sama ada peralatan yang digunakan boleh berada di premis mereka dan dikendalikan oleh bukan doktor.

DR Steven ketika ditemubual di Klinik Pakar Kulit Chow, Jalan Pudu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Selain itu, katanya, kaedah yang digunakan pusat kecantikan juga menyalahi amalan yang biasa dipraktikkan dalam bidang perubatan yang mana mereka mempromosi secara berlebihan pakej dan perkhidmatan mereka sedangkan doktor biasanya tidak melakukan strategi begitu.

"Kesimpulannya mudah. Sepatutnya apa saja yang membabitkan alat perubatan, ia mesti dikendalikan pakar perubatan seperti doktor dan didaftar sebagai klinik. Ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya di luar konteks perubatan.

"Senario ini bagi saya sudah terlalu kronik dan perlu tindakan segera. Sangat banyak pusat kecantikan sudah guna alat perubatan. Tanpa penguatkuasaan akta sedia ada, apa pun tidak mampu dibanteras," katanya.

IKUTI HASIL TINJAUAN BH PLUS DI BEBERAPA PUSAT KECANTIKAN DI SEKITAR IBU NEGARA DALAM BH, ESOK.

Berita Harian X