Ahad, 12 April 2015 | 11:48pm

New Zealand juara Piala Sultan Azlan Shah 2015


NEW Zealand muncul juara Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-24 selepas menumpaskan Australia 3-1. - Foto Supian Ahmad

IPOH: New Zealand muncul juara Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-24 apabila menumpaskan juara bertahan, Australia 3-1 melalui penentuan penalti di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam ini.

Ketenangan Hugo Inglis, Blair Hilton dan Ryan Archibald yang berjaya menyempurnakan pukulan mereka untuk New Zealand adalah faktor kejayaan pasukan Kiwi muncul juara kali kedua selepas kali pertama melakukannya pada 2012.

Manakala Daniel Beale, Eddie Ockenden dan Aran Zalewski gagal menumpaskan `penjaga gol terbaik' kejohanan, Devon Manchester untuk memaksa Australia berpuas hati selaku pasukan kedua terbaik kali ini.


PEMAIN New Zealand, Andy Hayward mengasak pemain Australia, Trent Mitton (jersi kuning) pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 di Stadium Azlan Shah di sini hari ini. - Foto BERNAMA

Terdahulu, pada perlawanan menarik dan hebat itu kejayaan tampak seakan milik New Zealand yang mendahului juara piala dunia itu dua kali sebelum akhirnya kedudukan terikat 2-2.

New Zealand terlebih dahulu mengejutkan lawannya apabila membuka jaringan melalui Andy Hayward seawal minit ke-5 sebelum Jacob Whetton menyamakan kedudukan pada minit 50.

Andy yang memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir sekali lagi meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-58 tetapi Australia mendapat gol penyamaan melalui pukulan penalti stroke di minit-minit akhir perlawanan yang disempurnakan Mark Knowles, sekali gus memaksa penentuan penalti.


PEMAIN New Zealand, Simon Child (tengah) diasak pemain Australia, Jamie Dwyer pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 di Stadium Azlan Shah di sini hari ini. - Foto Supian Ahmad

KEPUTUSAN PENUH

Juara : NEW ZEALAND

Naib juara: AUSTRALIA

Ketiga: INDIA

Keempat: KOREA SELATAN

Kelima: KANADA

Keenam: MALAYSIA

11 dibaca
Berita Harian X