Ahad, 12 April 2015 | 11:14am
KETUA Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya. - Foto NSTP

Jangan mudah percaya maklumat di laman sosial - KP Kedah

ALOR SETAR: Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada pihak polis.

Beliau berkata maklumat tidak sahih berkaitan kes jenayah dan soal keselamatan setempat yang menjadi 'viral' dalam laman sosial boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam masyarakat.

Katanya contohnya kejadian kanak-kanak mengalami kecederaan pada bahagian muka akibat terkena pisau baru-baru ini dipercayai berpunca daripada ibu bapa mereka bergaduh yang dikatakan berlaku di Sungai Petani adalah tidak benar.

"Kejadian itu berlaku di negara jiran dan menjadi viral yang mengatakan kejadian itu berlaku di Sungai Petani. Ini menyebabkan berlaku kekeliruan dalam masyarakat, timbul rasa gelisah dan marah oleh masyarakat.

"Masyarakat perlu semak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita menerusi pihak polis serta media cetak dan elektronik tempatan yang melaporkan berita yang sahih," katanya pada Majlis Makan Malam PDRM Bersama Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini malam tadi.

Zambri berkata peranan yang dimainkan media amat besar dengan dapat memperbetulkan maklumat yang salah yang sengaja disebarkan pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan kegelisahan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata hubungan antara media dan polis amat penting dalam penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat setempat sekaligus menangkis maklumat palsu.

Pada majlis itu, seramai 32 orang pengamal media di negeri ini menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Kedah atas kerjasama dalam pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti. - BERNAMA

Berita Harian X