Ahad, 12 April 2015 | 1:06am
TONY Abbott - Foto ihsan Herald Sun

Iran patut terima semula warganya - Abbott

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata semalam, Iran perlu menerima semula warganya yang gagal dalam cubaan mendapatkan status pelarian, mengesahkan kerajaannya akan melobi Tehran berhubung isu itu.

Menteri Luar Julie Bishop dijangka mengutarakan isu pengusiran warga Iran apabila melawat Tehran minggu depan, satu tindakan yang mungkin mengurangkan tekanan ke atas kem pendatang Australia di kepulauan Pasifik di Nauru dan Papua New Guinea.

"Amat penting mereka yang didapati tidak memiliki status pelarian dibenarkan pulang. Isu inilah yang akan kami bincangkan dengan kerajaan Iran supaya menerima semula warga mereka kerana mereka berhak berada di Iran. Mereka milik Iran," kata Abbott kepada media di sini.

Penyokong pelarian mengatakan, Iran enggan menerima semula pemohon suaka gagal yang kembali bukan atas kerelaan mereka dan menimbulkan persoalan berhubung keselamatan mereka jika kembali ke tanah air.

"Kami menjaga mereka yang didapati mendapat taraf pelarian. Namun mereka yang didapati bukan pelarian seharusnya pulang ke tanah air, dan jika negara asal mereka Iran, di situ mereka sepatutnya berada," kata Abbott apabila ditanya mengenai pendakwaan mungkin rakyat Iran yang dihantar pulang.

Rakyat Iran terdiri daripada 20 peratus daripada 1,848 pelarian yang ditahan di pusat tahanan imigresen di Australia, menurut angka rasmi hujung Mac lalu dan majoriti daripada 1,707 ditahan di Nauru dan Papua New Guinea.

Beberapa ribu lain difahamkan tinggal dalam kalangan masyarakat menggunakan visa sambungan namun menunggu penilaian akhir tuntutan untuk status pelarian.

"Perkara utama ialah, kami memiliki sejumlah besar individu dalam pusat tahanan imigresen yang majoritinya dari Iran.

"Objektif kami pada akhirnya ialah supaya mereka ini kembali semula ke negara asal mereka," kata ahli parlimen kerajaan Paul Fletcher kepada Sky News mengakui ini mungkin "menimbulkan kesukaran dan cabaran." -AFP

Berita Harian X