Sabtu, 11 April 2015 | 12:06am
NAD Zainal ketika melalui karpet merah Malam Kemuncak ABPBH 2014 di Arena of Stars, Genting Highlands. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NAD Zainal dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 2014. - Foto Munira Abdul Ghani
NAD Zainal membuat aksi lucu bersama trofi yang dimenanginya. - Foto Munira Abdul Ghani

Nad Zainal tawar hati bercinta?


NAD Zainal pada Malam Kemuncak ABPBH 2014 di Arena Of Stars, Genting Highlands. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, mempunyai bakat lakonan yang tersendiri. Cuma sayang di sebalik perhatian kepada sisi kontroversi, termasuk kisah cintanya yang tak kesampaian, bakat si genit ini mungkin ada yang terlepas pandang.

Mengakui pernah melalui fasa bergelut dalam membuktikan bakat yang ada suatu ketika dulu, kini bakat seninya kian dipandang dan si empunya diri juga mahu terus fokus, sekali gus tidak lagi mahu larut mengundang kontroversi tak bertepi.

Siapa sangka sekian lama menceburi lakonan sejak 2007 menerusi drama Sunsilk Impian, kerja kerasnya berbayar selepas dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014, menewaskan Ayda Jebat, Emma Maembong, Siti Saleha dan Atikah Suhaime.

Ucapan anak tunggal kelahiran Kajang, Selangor ini di atas pentas kala menerima trofi berkenaan, "Saya selalu kurang bernasib baik dalam cinta tapi malam ini saya dapat rasa cinta daripada anda semua" turut menangkap perhatian ramai.

Ucapan berkenaan jelas menunjukkan isi hatinya yang beberapa kali dikecewakan. Pastinya episod cintanya dikaitkan dengan pelakon seperti Azwan Kombos, Hefny Sahad dan Syarul Ridzwan akan diingati.

"Saya mungkin tak bernasib baik dalam cinta. Kadang-kadang Tuhan tak memberi apa yang kita nak. Tapi itu bukan penamat segala-galanya. Apabila saya tak dapat cinta daripada seorang insan, saya kini dapat rasa cinta daripada ramai orang termasuk peminat. Cinta itu lebih jujur.

"Tak guna juga dapat cinta yang tak jujur daripada seseorang. Oh, ucapan saya itu memang tak ditujukan kepada sesiapa. Ia sangat umum untuk sesiapa saja yang pernah berasa sakitnya bercinta," katanya yang akan terbabit dalam penggambaran filem seram berjudul Aku Haus Darahmu di samping Deanna Yusof tak lama lagi.

Saat ini, Nad tidak mahu terus larut melayan perasaan dalam episod cinta yang belum mampu memberi kebahagiaan kepadanya. Pengalaman lalu jelas membuatkan Nad lebih berhati-hati dalam berkongsi sisi peribadinya.

"Hati saya pangkah kepada cinta? Tidak, tidak dan tidak. Hanya kerja keutamaan. Saya mahu lebih fokus membina kerjaya kerana inilah periuk nasi saya. Kejayaan di ABPBH 2014, menjadi pembakar semangat dan bukan masa untuk saya bermain-main lagi," katanya optimis.


NAD Zainal, Pelakon TV Wanita Popular. - Foto Munira Abdul Ghani

Hingga saat ini, Nad sebenarnya masih belum percaya, trofi Pelakon TV Wanita Popular menyebelahinya. Tapi bukan lagi mimpi kerana semuanya sudah tertulis, ABPBH 2014 menjadi malam bermakna buat Nad.

Nama Nad terlebih dahulu dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular di ABPBH 2012 bersaing dengan Wawa Zainal, Ainan Tasneem, Emma Maembong dan Hanez Suraya. Cuma ketika itu nasib belum menyebelahinya.

"Ketika itu saya memang tidak terlalu yakin kejayaan akan berpihak kepada saya. Emak saya pun tak yakin saya boleh menang ketika itu. Dapat berada di kelompok top 5 pun jadilah dan ABPBH jelas menjadi ruang untuk saya mempromosikan diri.

"Kejayaan saya di ABPBH 2014 juga sesuatu yang di luar jangkaan. Lihat saja pengikut saya di laman Instagram dan Twitter, memang tak seramai artis yang lain. Terkejut dengan keputusan ini dan pada masa yang sama tentunya gembira.

"Terima kasih kepada peminat saya, Nad Zainal Lovers atas sokongan jitu ini. Saya akan pastikan selepas ini tiada lagi kontroversi. Saya mahu mempamerkan hasil kerja mantap dan memberikan yang terbaik. Insya-Allah," katanya.

Info Nad Zainal
* Graduan Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
* Mula berlakon sekitar 2007 menerusi drama Sunsilk Impian tetapi berehat beberapa tahun kerana menumpukan perhatian kepada pengajian.
* Kolaborasi semula bersama Red Communication berhasil apabila lakonannya dalam Memberku Hawa mula memancing penonton ketika itu.
* Bertapak dari situ, nama Nad meluncur laju apabila persembahannya dalam drama berantai, Bukan Bidadari menerima pujian ramai.
*Drama lain lakonannya, Putera Rayyan, Bloggerboy 2, Apa Dosaku: Sybil Kathigasu, Inikah Cinta, Qolbu, Papaku Nak Kahwin, Incredible Tales, Bayangan Rindu dan telefilem Mawar Putih Tanda Perpisahan

20 dibaca
Berita Harian X