Jumaat, 5 September 2014 | 4:25pm

Tindakan polis tahan PPS ikut undang-undang - Muhyiddin


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan pemeriksaan perbarisan pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

MUAR: Tindakan polis menahan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang baru-baru ini bukanlah mengikut arahan kerajaan, sebaliknya dibuat mengikut prosedur undang-undang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, langkah yang diambil pihak polis bukanlah tindakan sewenang-wenangnya malah dibuat berasaskan bukti yang kukuh.

"Kita (kerajaan) tidak mengeluarkan arahan tetapi polis mempunyai kuasa untuk bertindak.

"Dalam apa keadaan sekalipun, kalau dilihat dari sudut keselamatan (dan) ancaman yang boleh berlaku, kalau ia tidak ditangani, jangan sampai tercetus peristiwa buruk, (nanti) orang tuduh polis juga tidak bertindak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, seharusnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng, sebagai ketua kerajaan negeri harus menghormati tindakan itu dan memberi kerjasama kepada polis meskipun PPS ditaja oleh kerajaan negeri.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas tindakan Lim mempertahankan PPS yang juga sebuah pasukan tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Polis menahan 154 anggota pasukan itu baru-baru ini selepas Lim dilaporkan mencabar ketua polis negara supaya mengambil tindakan ke atas mereka.

Anggota PPS juga dikatakan telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat kerana mereka didakwa bertindak umpama samseng dalam beberapa insiden.

- BERNAMA

Berita Harian X