Jumaat, 10 April 2015 | 1:00pm
KAPTEN Manchester United, Wayne Rooney. - Foto Theguardian

Rooney tidak sabar tambah derita City

LONDON: Kapten Manchester United, Wayne Rooney tidak sabar menambah derita musuh tetangga, Manchester City menjelang pertembungan klasik di Old Trafford, Ahad ini.

Rooney, 29 yang juga penyerang England adalah penjaring terbanyak pertembungan tetangga Manchester dalam sejarah dengan sudah menjaringkan 11 gol menentang City sejak tiba di Old Trafford pada 2004.

City begitupun memiliki kelebihan terutama jika bersandarkan kepada prestasi semasa selepas menang keempat-empat perlawanan terakhir menentang United dengan Rooney terdesak untuk menamatkan badi itu.

"Kamu bermain untuk Man United, kami mahu menang dalam perlawanan tetangga ini," kata Rooney.

"Kami mahu memberikan peminat Man United sesuatu untuk membuatkan mereka tersenyum apabila mereka keluar bekerja pada pagi Isnin, kami mahu memberikan mereka peluang untuk mengejek penyokong Man City di tempat kerja.

"Saya fikir ia adalah perlawanan yang penting buat Man United dan Man City... buat peminat-peminat dan, bagi saya, ia adalah perlawanan yang besar untuk maruah kami," kata bekas penyerang Everton ini.

Minggu lalu, Rooney menjaringkan gol volley cantik ketika pertemuan menentang Aston Villa yang berakhir dengan kemenangan 3-1.

Kemenangan pada Ahad pula memberi peluang buat United untuk menjarakkan kedudukan kepada empat mata di atas Man City yang kian terdesak selepas kekalahan 1-2 kepada Crystal Palace pada awal Selasa lepas.

Pengurus United, Louis van Gaal juga dijangka memperoleh kembali khidmat penyerang Belanda, Robin van Persie selepas rakan senegaranya itu kembali menjalani latihan, minggu ini selepas berdepan kecederaan buku lali.

City ketika ini hanya menang empat daripada 11 perlawanan EPL namun pengurusnya, Manuel Pellegrini tetap optimis dan menegaskan tidak bimbang mengenai kedudukannya. - AFP

Berita Harian X