Jumaat, 10 April 2015 | 12:08am
PELAKON Sharnaaz Ahmad menafikan dakwaan beliau meniru ikon fesyen tempatan, Wak Doyok. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Tak tiru jambang Wak Doyok - Sharnaaz Ahmad



KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad menafikan dakwaan beliau meniru ikon fesyen tempatan, Wak Doyok dengan gaya berjambang yang dipopularkan oleh jejaka itu.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 30, berkata beliau memilih untuk berjambang kerana sudah lama teringin untuk menggayakan imej begitu serta untuk memberi kelainan dalam karakter yang bakal dijayakannya tidak lama lagi.

"Ada sesetengah pihak mengaitkan imej terbaharu saya dengan Wak Doyok dan ramai lagi, namun sebenarnya semua lelaki ada kecenderungan untuk berjambang tetapi ia bergantung dengan kesesuaian bentuk muka.


IMEJ berjambang ini adalah sekadar mencuba dan beliau tidaklah menjaga secara rapi seperti Wak Doyok. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Penjagaan itu senang saja sebenarnya kerana saya bukannya begitu menjaga rapi jambang ini. Saya biar saja jambang ini tumbuh sendiri dan sapu minyak. Kalau hendak gunakan RON97 pun boleh juga," kata Sharnaaz sambil berseloroh kepada BH PLUS.

Menurut Sharnaaz, imej berjambang ini adalah sekadar mencuba dan beliau tidaklah menjaga secara rapi seperti Wak Doyok yang mempunyai penampilan sebegitu sejak awal kemunculannya lagi.

"Orang mengenali imej saya tidak berjambang sejak awal lagi. Jambang ini disimpan untuk menjayakan watak untuk drama berjudul Hidupku Solatku Matiku," katanya.

Dalam perkembangan terkini, Sharnaaz bakal bergandingan dengan aktres popular, Fasha Sandha untuk sebuah drama arahan Raja Ahmad Alaudin terbitan produksi Global Station itu.

Sementara itu, Sharnaaz sibuk menumpukan perhatian terhadap bisnes kosmetik menerusi syarikat Science Tech Industries.


SHARNAAZ Ahmad bersama peminat pada permaidani merah di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 2014 di Arena Of Stars, Genting Highlands. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Jejaka berusia 30 tahun itu bakal tampil dengan produk makanan tambahan bagi lelaki dan perempuan pada bulan April ini.

"Sejujurnya, saya memang tak tahu produk kolagen ini tetapi setelah mencuba, saya jadi tertarik pula. Boleh dikira ini adalah produk pertama yang saya gunakan kerana ianya macam produk untuk 'fitness' juga.

"Saya akan menjemput media datang untuk pelancaran produk ini pada 18 April. Malah pembungkusan produk ini juga berbeza dengan produk kolagen di pasaran sekarang," katanya.

21 dibaca
Berita Harian X