Jumaat, 5 September 2014 | 12:25pm

Polis serbu banglo makmal dadah, tahan lelaki, ibu mentua


TIMBALAN Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Datuk A Thaiveegan (tengah) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt. Guan Beng Kang (kanan) menujukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jelutong dengan nilai rampasan RM1.93 juta. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Seorang lelaki dan ibu mentuanya ditahan dalam satu serbuan di sebuah banglo yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah di Jalan Hijau, Jelutong, di sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, polis berjaya merampas pelbagai dadah dan bahan mentah membuat dadah bernilai kira-kira RM1.93 juta.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan juga risikan polis sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal di Jelutong dan polis menemui dadah jenis syabu seberat 6.7 gram pada lelaki itu.

"Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah apartmen milik lelaki terbabit di Jelutong dan merampas syabu seberat 121 gram serta lapan biji pil ekstasi.

"Polis kemudian menyerbu sebuah banglo di kawasan Greenlane di sini dan menahan seorang wanita Vietnam berusia 51 tahun dipercayai ibu mentua lelaki berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Thaiveegan berkata, di rumah banglo itu polis turut menemui 4.769kg heroin, 1.973kg syabu, 3 liter minyak meth , 4,490 pil ekstasi, 1,100 biji pil eramin 5, 2,400 pil yaba dan 33kg serbuk epherdin.

Katanya, turut dirampas ialah sejumlah bahan kimia dan pelbagai peralatan memproses dadah, wang tunai RM26,500 dan motosikal bernilai RM5,000.

"Siasatan awal mendapati rumah banglo berkenaan disewa oleh sindiket itu untuk dijadikan tempat memproses dan membungkus dadah sebelum diedar kepada pembekal. Kita percaya dadah berkenaan untuk dipasarkan di kawasan Utara," katanya.

Thaiveegan berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini sedang mengesan isteri lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Berita Harian X