Rabu, 8 April 2015 | 12:23pm

PUNB lulus RM616.61 juta pembiayaan usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sudah meluluskan pembiayaan sebanyak RM616.61 juta kepada 3,215 perniagaan Bumiputera di bawah Skim PROSPER Runcit setakat 31 Mac 2015.

Pengerusi, Senator Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, berkata seramai 4,868 usahawan runcit menikmati skim itu sejak ia dilancarkan pada 2000.

Beliau berkata, skim PROSPER Pemborong yang dilancarkan pada 2006 telah berjaya membangunkan sebanyak 288 syarikat atau perniagaan borong dan melahirkan 595 pemborong Bumiputera berskala besar.

"Jumlah pembiayaan keseluruhan yang diluluskan PUNB ialah sebanyak RM585.57 juta," katanya berucap pada Seminar Peruncitan Kebangsaan (SPark 2015) di sini hari ini.

Dalam pada itu, PUNB akan melancarkan skim jaminan kewangan baharu pada bulan depan untuk membantu usahawan Bumiputera memiliki premis perniagaan sendiri.

Pelancaran skim jaminan itu secara langsung membantu meningkatkan pemilikan hartanah komersial dalam kalangan Bumiputera.

Cadangan untuk melancarkan skim jaminan itu berikutan ramai usahawan Bumiputera berdepan kesukaran dari segi penyediaan deposit yang mencukupi untuk membeli hartanah komersial.

"Kami bercadang memperuntukkan RM30 juta untuk skim jaminan baharu ini yang akan dilancarkan pada bulan depan," kata Mohd Ali.

PUNB akan mengadakan kerjasama strategik dengan bank di Malaysia untuk melaksanakan skim berkenaan.

"Kita sudah berbincang dengan dua hingga tiga bank untuk kerjasama bagi membantu usahawan Bumiputera memiliki premis perniagaan sendiri. Namun, kini hanya sebuah bank yang benar komited untuk bekerjasama dengan kami untuk melancarkan skim ini," katanya.

Berita Harian X