KUALA LUMPUR: Aturan hidup tak selalunya berkesudahan seperti dirancang. Jika jodoh tak panjang seperti yang diharap, kita sebagai manusia biasa perlu reda dengan suratan yang tertulis.
Inilah yang diluahkan Tasha Shilla ketika ditemui semasa hadir memeriahkan acara kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (2014) di Arena Of Stars, Genting Highlands, mengenai statusnya kini.
Tasha yang pernah menjalin cinta dengan peninju Muay Thai, Han Chen Wong dan merancang untuk ke gerbang perkahwinan pada tahun ini, mengesahkan yang mereka tidak lagi bersama.
"Bagi saya, kita orang putus tetapi secara baik. Tidak bermusuh. Kami ambil pendekatan untuk berpisah sementara waktu. Dia boleh fokus apa yang mahu dibuat dan begitu juga dengan saya.

Kami buat haluan masing-masing dan boleh terus menyokong sesama diri.
"Kami masih berkawan. Harap akan ada jodoh bersama lagi. Sejauh mana kita berusaha pun, Tuhan juga yang menentukan. Harap peminat akan doa yang terbaik. Ada jodoh kembali, insya-Allah tak ke mana," katanya.
Mengenai seorang artis yang dikaitkan menjadi punca keretakan hubungan mereka, Tasha menjelaskan semua itu tak lebih daripada khabar angin.
"Hakikatnya apa yang terjadi membabitkan masalah antara kami yang agak sulit untuk diceritakan. Apa terjadi kami tetap akan berkawan," kata Tasha.

Melihat susuk tubuh Tasha sekarang, jelas wanita berbadan montok itu semakin susut berat badannya. Beliau juga tidak menafikan permasalahan cinta itu turut menyumbang kepada penurunan drastik berat badannya.
"Orang cakap kalau ada masalah cinta itu, ia seperti mandi tak basah, makan tak kenyang. Adalah kesan serba sedikit dengan masalah cinta ini. Tapi saya gembira kerana memang sudah lama nak kurus dan perpisahan itu tanpa diduga mempercepatkan lagi saya kurus.

"Saya sekarang ini cuba kekalkan berat badan sedia ada. Saya juga tak lupa bersenam dengan berjogging dan melakukan 'squat'," katanya.
Tasha ketika ditemubual sedang berehat seketika daripada jadual penggambaran. Dia baharu saja selesai komitmen kerja untuk drama Nasuha dan Tabir Zulaikha. Tasha akan ke lokasi penggambaran dengan produksi milik Michael Ang.


INFO
* Pernah tersenarai dalam Top 5 Pelakon TV Wanita Popular pada ABPBH 2011 dan turut menang kategori Artis Baharu Wanita Popular pada acara yang sama.
* Nama penuh, Natasha Sheila Abdul Razak.
* Gadis berasal dari Ampang ini pernah dikaitkan sebagai gadis peneman atau escort girl sehingga mendesak pelakon itu untuk tampil bersuara membersihkan namanya.