Selasa, 7 April 2015 | 3:10pm

Piala FA: Rodgers sedia turunkan Lovren temu Blackburn


Dejan Lovren

BLACKBURN: Brendan Rodgers sedia menimbang untuk menyenarai semula pertahanan yang 'kurang popular', Dejan Lovren bagi pertemuan timbal balik suku akhir Piala FA menentang Blackburn, awal pagi Khamis.

Kunjungan ke laman lawan, Ewood Park penting buat Liverpool terutama bagi meningkatkan kembali moral pemain selepas kekalahan besar 1-4 kepada Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Ia kekalahan kedua berturut-turut Liverpool yang sebelum ini tewas kepada Manchester United, dua minggu lalu selepas mengharungi lapan kemenangan daripada sembilan perlawanan sejak Januari lalu.

Kekalahan itu menyukarkan laluan The Reds untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan Lovren yang kurang menjadi pilihan Rodgers sebelum ini dikatakan sedia untuk diturunkan kembali.

Kerapuhan jentera pertahanan yang dikemudi pemain veteran, Kolo Toure dijangka menjadi punca Rodgers melakukan perubahan itu dalam kesebelasan utamanya.

"Kolo memberikan segala-galanya setiap hari... jadi saya tahu apa yang anda akan dapat daripadanya ketika di Arsenal," kata Rodgers.

"Dejan tidak terbabit dengan perlawanan antarabangsa namun dia nampak cukup bertenaga. Dia berada dalam senarai pilihan saya," katanya.

Sejak menyertai Liverpool dari Southampton musim ini, Lovren hanya melakukan 16 penampilan dalam kesebelasan utama dan terpaksa mengadaptasi corak permainan tiga pertahanan yang ditampilkan Rodgers.

Blackburn berjaya mengikat Liverpool 0-0 di Anfield, bulan lalu yang memaksa perlawanan timbal balik diadakan.

Andai menang, Liverpool dijadualkan bertemu satu lagi kelab Liga Perdana, Aston Villa di Wembley pada aksi separuh akhir.

Blackburn yang dibimbing Gary Bowyer dan beraksi dalam Liga Kejuaraan Inggeris sudah pun menyingkirkan dua kelab dari Liga Perdana, Swansea dan Stoke sepanjang laluan ke suku akhir. - Agensi

Berita Harian X