Selasa, 7 April 2015 | 11:47am
JURULATIH kebangsaan, Dollah Salleh. -Foto Goh Thean Howe

Tiket aksi Tottenham di Shah Alam serendah RM58

SUBANG: Kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham, hari ini mengesahkan kehadiran ke negara ini untuk aksi persahabatan menentang pasukan Pilihan Malaysia kendalian jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh di Stadium Shah Alam, 27 Mei ini dengan sepak mulanya jam 8.45 malam.

Pada sidang media di The Saujana Hotel, di sini, pagi ini, turut diumumkan ialah harga tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut serendah RM58 untuk tempat duduk bebas serta RM428 tempat duduk VIP dan RM328 tempat duduk grandstand.

Tiket sudah boleh dibeli di Ticketpro, kata Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam selaku promoter rasmi perlawanan.

"Ini kunjungan kedua Tottenham ke Malaysia dalam tempoh 36 tahun (selepas kali pertama pada 1979) dan kita mengalu-alukan kehadiran mereka. Kita menjangkakan satu perlawanan yang menarik," kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dollah pula berkata: "Memandangkan perlawanan terakhir Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris adalah pada 24 Mei, jadi bukan tugas mudah bagi kami kerana mereka sudah tentu masih pada prestasi terbaik. Apa pun kami cuba yang terbaik."

Berita Harian X