Selasa, 7 April 2015 | 12:02am

INFOGRAFIK: Hidup terjejas tanpa air


TEKNIK imej 'brush' atau 'air brush' menjadi kegilaan ramai terutama generasi muda ketika ini. - Foto hiasan

ISU bekalan air mentah menjadi pertikaian dan perdebatan sejak sekian lama dan setiap kerajaan negeri mempunyai pelan tindakan bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air yang mencukupi.

Tahukah anda di sebalik pertikaian dan perdebatan ini, bagaimana proses air bersih ini disalurkan dan perkongsian agihan antara negeri dalam memastikan sumber air bersih sentiasa terkawal dan tidak terjejas.

Baru-baru ini, kerajaan Selangor menghentikan seketika rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air, Projek Bekalan Loji Rawatan Air Langat 2 kerana mendakwa Kerajaan Persekutuan gagal mematuhi beberapa terma perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak.

Jika ini berlaku, ia akan menyebabkan kekurangan kapasiti air terawat dan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi gangguan bekalan sehingga tahun 2020. Tambahan pula, kapasiti air terawat sedia ada dan projek mitigasi yang telah diluluskan hanya berupaya menampung permintaan sehingga 2016 saja.

Krisis air Selangor

- Kapasiti 34 loji rawatan air di Selangor hanya boleh menampung keperluan sehingga 4661 juta liter air terawat setiap hari

- Keperluan air dalam kalangan pengguna pula akan meningkat sehingga 4,947 juta liter air sehari.

- Krisis air pada 1998 menyebabkan rakyat Selangor melalui krisis air selama enam bulan dan pada tahun 2014 selama dua bulan.

- Presiden Penyelidikan Air dan Tenaga (Awer), S Piarapakaran, berkata isu penstrukturan semula air di Selangor mudah dan boleh diselesaikan melalui perbincangan kedua-dua pihak dengan mengutamakan kepentingan rakyat selaras Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

- Keengganan pihak terbabit menyelesaikan kemelut ini akan meninggalkan impak besar terhadap kualiti hidup rakyat, ekonomi, pelaburan dan pembangunan bukan saja menjejaskan negeri tetapi negara.

- Jika ini berlaku, rakyat Lembah Klang bakal berdepan krisis lebih teruk. Ketika ini hampir dua pertiga pengguna air terawat adalah pengguna domestik.

Jika Langat2 tidak beroperasi adakah simpanan mencukupi?

- Jika krisis air berterusan, defisit keperluan air akan berterusan sekali gus mengganggu rutin dan kualiti hidup pengguna terutama ketika waktu puncak, tengah malam dan awal pagi.

- Tangki perumahan komersial sedia ada hanya boleh menampung simpanan air selama satu hari saja, manakala premis perniagaan, hospital dan lapangan terbang mempunyai simpanan selama tiga hari.

- Kekurangan bekalan air memberi impak besar apabila infrastruktur kilang atau syarikat tidak mendapat bekalan air mencukupi.

- Projek perumahan, projek komersial dan kilang akan menanggung kerugian besar kerana catuan menjejaskan pengeluaran dan mungkin ambil keputusan berpindah ke luar Lembah Klang.

- Di kebanyakan kawasan pinggir bandar, sistem infrastruktur masih uzur. Apabila berlaku catuan, 100 peratus rakyat terputus bekalan air.

- Jika pertikaian berterusan, satu entiti diberi kuasa di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, boleh mengambil alih menstruktur semula perkhidmatan air. Menteri boleh buat keputusan, syor dan dibahaskan di Parlimen, diluluskan, diwartakan dan dilaksanakan.

- Proses pengeluaran permit kepada 500 pelabur asing terpaksa dihentikan sementara isu ini diselesaikan.

Projek Bekalan Air Langat 2

Komponen utama: Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor

Laluan: Langat 2 dari Sungai Semantan, Pahang -melalui terowong pemindahan (air dirawat dan disalurkan) - Lembah Klang.

Jumlah air dirawat: 2,260 juta liter air mentah sehari

Kapasiti Keperluan: Bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Empat Syarikat Konsesi Air Selangor:

- Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) kendalikan 3 loji

- Konsortium ABASS Sdn Bhd kendalikan sebuah loji

- Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) kendalikan 29 loji

- Konsortium Air Selangor Sdn Bhd kendalikan sebuah loji


IMEJ naga yang dihasilkan menggunakan teknik 'air brush' pada sisi kereta. - Foto hiasan

Sejarah loji rawatan air

- Sejarah bekalan air bermula sejak tahun 1804, apabila satu sistem formal untuk membekalkan air kepada pengguna diwujudkan di kawasan perumahan di Pulau Pinang (dikenali sebagai Prince of Wales Island ketika itu).

- Pada 1950, sebanyak 100 loji rawatan air berfungsi merawat 195 juta liter air sehari untuk kegunaan 1.5 juta penduduk tempatan.

- Penuras berpasir di Ampang dibina pada tahun 1906 meliputi kawasan Kuala Lumpur, manakala penuras graviti loji rawatan air pertama dibina di Air Itam, Pulau Pinang. Ia dibina pada 1934 dan masih lagi beroperasi sehingga kini.

- Pada awal tahun 1990-an, rawatan air asas seperti penuras berpasir 'slow sand filter' yang murah dan mudah dibina digunakan.

- Loji rawatan Bukit Nenas, salah satu daripada loji rawatan yang pertama. Pada tahun 1959, loji ini membekalkan 76 juta liter air kepada penduduk di Kuala Lumpur setiap hari.

- Perkembangan dalam industri air memaksa negara memperkenalkan sistem meter air, yang diamalkan di negara maju bermula 1900.

- Dengan sistem meter, kualiti bekalan air turut ditingkatkan. Rawatan pembasmian kuman menggunakan hipoklorit dan gas klorin diperkenalkan pada tahun 1915.

- Tahun 1939 pengguna di Malaysia menikmati bekalan air paip dengan kualiti memuaskan tetapi, liputan kawasan yang menerima bekalan air masih lagi di tahap rendah.

- Liputan air meningkat secara mendadak sejak tahun 1960-an.

- Perkembangan ini memberi kesan kepada pembangunan sistem pembetungan negara. Pada awalnya, pembetungan berbentuk 'basic pit' dan 'bucket latrine'.

- Sejak tahun 1960-an, sistem pembetungan dengan penyaluran pembetungan komuniti serta loji rawatan berpusat telah diwujudkan, sebagai langkah mempertingkatkan taraf kehidupan serta kesihatan awam.

- Pada mulanya rawatan dan bekalan air bawah seliaan Jabatan Kerja Raya, kemudian dipindah kepada Jabatan Bekalan Air pada tahun 1980-an.

- Sistem pembetungan diswastakan pada 1998.

- Satu lagi perkembangan utama ialah pembentukan Kementerian, Tenaga, Air dan Komunikasi pada 27 Mac 2004 untuk menguruskan isu berkenaan air.

- Pada tahun 2004, Parlimen Malaysia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meletakkan air dalam senarai persetujuan bersama.

- Dua akta utama digubal iaitu Akta Perkhidmatan Air Negara 2005 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2005.

- Kedua-dua akta ini berserta Akta Air 1920 memainkan peranan penting mengawasi kepentingan pengguna dalam isu air.

- Seterusnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dibentuk.

- Pada tahun 2005, 75 empangan beroperasi di seluruh negara.

- Daripada jumlah itu, 41 empangan membekalkan air, pelbagai kegunaan (21) dan selebihnya, membekalkan air untuk pertanian dan menjana hidro elektrik.

Berita Harian X